KANGAR, 12 Disember – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd (Modenas) bakal memasarkan motorsikal gaya retro yang dihasilkan universiti berteraskan kejuruteraan berkenaan.

Motorsikal yang dinamakan Seri Perlis (SP) itu dihasilkan dengan kerjasama pelajar-pelajar UniMAP dan dibantu  jurutera-jurutera dari Modenas.

Pengarah Unit Penyelidik dan Sukan Permotoran (MoTECH) UniMAP, Prof Madya Dr. Shahriman Abu Bakar berkata, pihak Modenas sangat membantu dalam menghasilkan motosikal tersebut.

“Kita telah bekerjsama bersama Modenas sejak 2014 lagi dan ia lebih rancak lagi selepas tertubuhnya Pusat Penyelidikan UniMAP- Modenas tahun lalu.

“Melalui pusat penyelidikan ini, kita dapat melatih dan memberi pendedahan secara terus kepada pelajar serta menghasilkan impak setinggi mungkin kepada industri,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Katanya lagi, penubuhan Pusat Penyelidikan UniMAP- Modenas juga dapat mengurangkan kos penyelidikan kepada Modenas malah akan menghasilkan teknologi yang lebih tinggi selari dengan Dasar Automotif Negara untuk menghasilkan kenderaan berteknologi tinggi dengan kos yang rendah.

Ujar Dr. Shahriman lagi, motorsikal itu juga turut menarik perhatian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan beliau bersetuju bagi melihat sendiri motorsikal itu di pejabat Perdana Menteri, di Putrajaya baru-baru ini.

Hadir sama  Menteri Pendidikan, Dr. Mazlee Malik, Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Amirudin Abd Kadir.

Dr. Shahriman turut melahirkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang banyak memberi tunjuk ajar dan bantuan dalam merealisasikan projek terbabit.

Motosikal yang bakal dijual dengan harga sekitar RM12,000 itu menggunakan enjin Modenas empat lejang silinder tunggal 173cc SOHC sejukan udara dengan transmisi empat kelajuan.

Ia menghasilkan 14.8 kuasa kuda  pada 8,000 rpm dan 16.2 Nm pada 7,500 rpm.

mpp2018

mpp2018