Warga Rumah Seri Kenangan Bukan Hanya Makan dan Tidur

Taiping, 1 Disember – Jika sebelum ini segelintir masyarakat menganggap warga emas yang mendiami rumah orang-orang tua hanya makan dan tidur sahaja namun realitinya mereka juga turut didedahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk kemahiran.

Perkara berkenaan dikongsi penyelia Rumah Seri Kenangan Taiping, Ahmad Sukri Abdul Samad yang merupakan Pembantu Kebajikan Masyarakat Kanan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) ketika memberi taklimat kepada hampir 30 ahli Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (POTENSI) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sempena lawatan ke rumah itu, baru-baru ini.

Menurut Ahmad Sukri sepertimana penghuni asrama sekolah , warga rumah berkenaan juga bangun seawal jam 6 pagi bagi mengerjakan solat Subuh secara berjemaah sebelum mengikuti tazkirah pagi serta senamrobik ringan.

“Selepas sarapan pagi, mereka akan mengikuti kelas agama, bengkel masakan, kelas pertanian, dan berbagai lagi kelas kemahiran yang disediakan bagi mengisi masa mereka.

“Malah, program tahunan seperti lawatan ke tempat pelancongan juga diadakan. Pendek kata, rutin yang dilalui di sini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti berfaedah dan tidak membosankan,” kata beliau.

POTENSI menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) “Nature with Kindness” diketuai Presiden POTENSI, Raja Shah Erman Raja Ariffin turut menceriakan warga Rumah Seri Kenangan menerusi sesi karaoke, teka lagu P.Ramlee dan sambutan hari lahir.

Katanya, sempena program itu POTENSI turut menghulurkan sumbangan berupa tilam dan bantal selain wang tunai bagi mengubat kerinduan mereka terhadap keluarga.

“Menerusi lawatan ini sedikit sebanyak meninggalkan kesan yang cukup mendalam di kalangan peserta POTENSI sekaligus berkongsi sedikit rezeki dengan golongan yang memerlukan,” kata beliau.

Selain menyantuni Rumah Seri Kenangan, POTENSI turut mengadakan CSR di Zoo Taiping iaitu membersihkan kawasan zoo berkenaan di samping mendekati flora dan fauna.

Di samping itu, bagi menguji stamina dan kecergasan ahlinya, POTENSI mengambil peluang mendaki Bukit Larut yang mempunyai ketinggian 1036 meter dari paras laut sekaligus memberi pengalaman baharu bagi mereka yang pertama kali mendaki bukit rekreasi yang menjadi tumpuan pelancong itu.

mpp2018

mpp2018

mpp2018

mpp2018

mpp2018