UniMAP Terima 4 Motosikal Elektrik

Arau, 11 Oktober – Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) telah menerima empat unit motosikal elektrik (E2W) dan stesyen penukaran bateri dari Roda Prestasi Sdn. Bhd. (RPSB) bagi menjalankan penyelidikan E2W untuk pasaran tempatan.

Penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan RPSB, Ahmad Sabandi Othman kepada Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal di perkarangan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) UniMAP Pauh Putra di sini semalam.

Turut hadir adalah Ketua Pembangunan Industri Pembuatan, Asmazura Ismail mewakili Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang merupakan rakan strategik kajian ini.

Menurut Ketua Projek, Prof. Madya Dr. Shafriza Nisha Basah, kenderaan ini digunakan untuk kajian terhadap pengguna bagi mengenalpasti beberapa faktor seperti tingkahlaku pengguna terhadap E2W, penerimaan pengguna, harga produk dan spesifikasi produk.

“Projek kerjasama dengan pihak NCIA ini akan dilengkapkan dalam tempoh enam minggu dari sekarang kerana kita akan menjalankan kajian komprehensif menggunakan kaedah kaji selidik dan ujian pemanduan E2W kepada kumpulan sasaran; dan perbincangan bersama kumpulan sasaran bagi mendapatkan persepsi mereka.

“Ini sekaligus dapat mengenalpasti strategi pemasaran yang bersesuaian bagi penggunaan produk E2W selari dengan saranan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke – 11 di bawah teras strategik keenam yang berfokuskan pertumbuhan hijau kearah pembangunan mampan,” katanya ketika dihubungi pemberita baru-baru ini.

Tambah beliau, kumpulan sasaran adalah golongan pelajar, pekerja, pengguna korporat dan juga vendor motosikal.

“Kita akan bermula secepat mungkin dan insyaAllah pada Istiadat Konvokesyen ke – 13 UniMAP yang bakal berlangsung dari 27 Oktober hingga 29 Oktober 2018, kita juga akan jalankan kaji selidik dan uji pandu kenderaan kepada ibu bapa dan graduan itu sendiri,” katanya.

Malah beliau optimis dapatan dari kajian ini akan memberikan rumusan mengenai kumpulan pengguna yang berminat, penambahbaikan produk yang menarik perhatian pembeli; dan harga yang bersesuaian.

Selain Dr. Shafriza yang berkepakaran dalam kejuruteraan mekatronik, kajian ini turut disertai oleh Prof Madya Muzamir Isa dari bidang Kejuruteraan Elektrikal; Prof. Rosni Bakar dalam bidang ekonomi dan Dr. Hanum Hassan dari bidang pemasaran, komunikasi dan statistik.

Motor Elektrik

Motor Elektrik