UniMAP Terima 80 Pelajar Sulung Pengajian Separuh Masa

Kangar, 24 September– Seramai 80 pelajar sulung yang mengikuti program Pengajian Secara Separuh Masa  mendaftar di Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) baru-baru ini.

Pelajar-pelajar tersebut mendaftar bagi dua program iaitu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sistem Elektrik danIjazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik.

Dekan Pengurusan Akademik UniMAP, Profesor Madya Ir. Dr. Anuar Mat Safar berkata,penawaran program mod separuh masa merupakan salah satu inisiatif UniMAP untuk mempelbagaikan program pengajian dan membuka peluang kepada calon-calon yang bekerja untuk menyambung pengajian.

“Ini adalah selari dengan hasrat kerajaan yang menggalakkan budaya pembelajaran sepanjang hayat untuk semua lapisan masyarakat.

UniMAP mula menawarkan Kursus  Pengajian Secara Separuh Masa  setelah mendapat kelulusan senat pada Mei lalu dan sebagai permulaan kelulusan ini diberikan kepada dua buah pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Sistem Elektrik dan  PPK Mikroelektronik,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Kemasukan Pelajar Program Ijazah Secara Separuh Masa di Dewan Keikhlasan UniMAP, baru-baru ini.

Turut hadir, Dekan PPK Sistem Elektrik Dr.Haziah Abdul Hamid dan Dekan PPK Mikroelektronik Prof. Madya Ir. Dr. Rizalafande Che Ismail.

Ujar beliau lagi, pelajar program pengajian secara separuh masa akan mengikuti kelas di dalam Kampus Pauh Putra dan di luar kampus Anjung Kulim.

 “Saya berharap dua buah PPK ini akan menjadi perintis dalam membangunkan struktur kurikulum yang direkabentuk khas dengan mengambil kira kelayakan akademik dan juga pengalaman kerja calon-calon yang terpilih,”katanya lagi.

Sementara itu bagi Pembantu Jurutera di Hoya Electronic Sdn. Bhd. Abdullah Fikri Paharodzi, 33, berkata, pernah mempunyai cita-cita untuk melanjutkan pelajaran namun disebabkan kekangan masa dan kewangan niat tersebut terpaksa dipendam.

“Saya bersyukur kerana pihak majikan memberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran dan UniMAP menawarkan kursus yang saya perlukan disamping jarak yang dekat,”kata pelajar Kejuruteraan Elektronik itu.

Bagi Ketua Teknikal Tenaga Nasional Berhad, Guar Cempedak, Boriyatol Afizah Tajudin, 41, yang mengambil jurusan Sistem Elektrik, berkata peluang melanjutkan pelajaran merupakan sesuatu yang ditunggu.

“Saya rasa sudah sampai masa untuk melanjutkan pelajaran kerana kursus yang ditawarkan UniMAP sesuai dengan apa yang saya inginkan disamping jarak yang dekat serta kos yang berpatutan.

“ Di samping itu, hasil dari pemerhatian yang saya lakukan mendapati silibus yang ditawarkan di UniMAP amat menarik dan meyakinkan,”katanya lagi.

UniMAP Pelajar Separuh Masa Pertama 2018

UniMAP Pelajar Separuh Masa Pertama 2018

UniMAP Pelajar Separuh Masa Pertama 2018

UniMAP Pelajar Separuh Masa Pertama 2018