UniMAP Gerak Bantuan Kakitangan Dilanda Ribut

Padang Besar, 18 Sept – Berikutan kejadian ribut yang melanda hampir seluruh negeri Perlis semalam, banyak kawasan terjejas akibat kerosakan pada kediaman serta prasarana awam.

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerusi Jabatan Keselamatan, Unit Komunikasi Korporat , Jabatan Pembangunan dan Kelab Sukarelawan menggerakkan bantuan kepada salah seorang mangsa ribut iaitu kakitangan Jabatan Keselamatan UniMAP, Azleen Wahab di Kampung Bawah Bukit, Chuping, di sini.

Salah seorang sukarelawan, Yap Chee Hian berkata dia dan 14 rakan-rakan yang berkelapangan daripada sebarang jadual kuliah segera menyertai gerakan bantuan berkenaan selepas dimaklumkan pihak pengurusan.

“Ahli kelab sukarelawan ini terdiri daripada 93 orang, dan kami sentiasa bersiap sedia sekiranya dimaklumkan mengenai gerakan bantuan.

“Ada di antara kami sibuk dengan urusan Minggu Suaikenal bagi rakan-rakan baharu ambilan kedua yang mendaftar di universiti hari ini, namun kami tetap bersemangat untuk datang membantu,” katanya.

Kejadian kira-kira jam 10 malam itu menyebabkan bumbung rumah keluarga Azleen diterbangkan angin selain siling ruang tengah rumah juga pecah dan jatuh.

Ibu Azleen, Latifah Kassim,63, berkata dia dan keluarga sedang menonton televisyen sebelum dikejutkan bunyi angin yang kuat.

Katanya, mereka sekeluarga tertanya-tanya apabila terdengar bunyi bising yang sangat kuat sebelum memeriksa bahagian luar rumah dan mendapati bumbung jatuh di hadapan rumah itu.

“Rupa-rupanya bumbung bahagian belakang rumah tercabut dan diterbangkan angin sehingga ke bahagian hadapan rumah. Mujur tiada kemalangan jiwa berlaku kerana bumbung itu berat dan mempunyai kayu,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal meluangkan masa ke rumah mangsa bagi meninjau kerosakan yang dialami oleh keluarga mangsa.

Menurut Dr Zul Azhar , UniMAP segera menghulurkan bantuan bagi membersih dan membaiki kerosakan menerusi Jabatan Pembangunan serta sukarelawan UniMAP.

“Kira-kira 40 staf dan sukarelawan yang terdiri daripada pelajar UniMAP turun padang bagi membantu meringankan beban yang dialami keluarga Azleen.

“Selain itu, pihak UniMAP turut menyalurkan sumbangan menerusi Tabung Bencana UniMAP agar dapat dimanfaatkan keluarga Azleen untuk membaiki kerosakan lain yang diperlukan,” kata beliau.

Terdahulu, dilaporkan sebanyak 56 rumah di beberapa kampung dan kawasan perumahan mengalami kerosakan selepas dilanda ribut berkenaan iaitu Mata Ayer, Bintong, Kayang, Beseri, Sena, Chuping, Kuala Perlis dan Pauh.

Selain itu, 156 pokok juga dilaporkan tumbang sehingga menghalang laluan di jalan-jalan utama serta 55 kes gangguan elektrik juga diterima akibat ribut itu.

UniMAP Bencana Ribut 2018

UniMAP Bencana Ribut 2018

UniMAP Bencana Ribut 2018

UniMAP Bencana Ribut 2018