UniMAP Cemerlang SUKUM KE-43, Juara Bertahan Kali Ke 11

Kuantan, 18 Ogos - Kontinjen Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files ) dinobatkan juara keseluruhan Kejohanan Sukan Kakitangan Universiti Malaysia (SUKUM) kali ke-43 sekaligus mengekalkan status juara bertahan kali ke-11 berturut-turut.

UniMAP muncul juara keseluruhan di kejohanan itu yang berlangsung di Universiti Malaysia Pahang (UMP) sejak 11 Ogos lalu  selepas berjaya mencatat pungutan pingat iaitu 23 emas, 9 perak dan 19 gangsa dalam 17 acara yang disertai.

Antara aksi cemerlang UniMAP yang meraih emas ialah olahraga, tenpin boling, golf, bola tampar wanita, bola sepak senior dan basikal.

Naib Canselor UniMAP Dato' Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata antara rahsia kejayaan UniMAP adalah dengan mewujudkan sistem mentor kepada pasukan bagi setiap acara yang disertai.

"Mentor-mentor ini terdiri daripada ketua-ketua jabatan UniMAP yang bertanggungjawab memberi inspirasi dan sokongan terhadap pasukan masing-masing.

"Pendekatan ini sebagai membuktikan bahawa pengurusan sentiasa memberi dorongan kepada staf yang terlibat dalam acara sukan sekaligus menyuntik semangat mereka untuk mencapai kejayaan," kata beliau ketika dihubungi.


Sementara itu, pasukan bola sepak senior UniMAP meneruskan kecemerlangan apabila menewaskan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan empat gol tanpa balas dalam aksi akhir yang berlangsung semalam di Stadium Sekolah Sukan Pahang, di sini.

Ketua pasukan UniMAP, Anas Shahrom membuat kejutan awal dengan menjaringkan gol pertama seawal minit ke-4 diikuti gol kedua dan ketiga oleh Rosmaidi masing-masing pada minit ke-10 serta minit ke 26. Manakala jaringan keempat oleh Faizal Zahir pada minit ke 48.

UniMAP dengan kekuatan 206 kontinjen terdiri daripada atlit, jurulatih dan pegawai menyertai SUKUM ke 43 berkenaan yang turut disertai 20 universiti awam (UA) dengan 17 acara dipertandingkan.