Sembilan Sekolah Wakili Perlis Ke NRC 2018

ARAU, 14 Ogos – Sembilan Pasukan bakal mewakili Perlis ke Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) 2018 selepas muncul juara Pertandingan Robotik Kebangsaan Peringkat Negeri Perlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files), di sini baru-baru ini.

Sebanyak 41 pasukan daripada lapan sekolah rendah dan 10 sekolah menengah sekitar Perlis mengambil bahagian dalam 11 kategori yang dipertandingkan.

Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Mekatronik UniMAP, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Abu Hassan Abdullah berkata, NRC peringkat negeri Perlis merupakan pengajuran kali kedua UniMAP.

“Kita amat terharu dengan kepercayaan yang diberikan oleh Jabatan Pendidikan (JPN) Perlis dan Sasbadi Holdings Berhad kepada Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekatronik UniMAP untuk menjadi tuan rumah buat kali kedua pada tahun ini.

“Tujuan pertandingan ini diadakan adalah bagi memilih pasukan yang akan mewakili Perlis ke peringkat kebangsaan pada September dan seterusnya peringkat antarabangsa di Chiang Mai, Thailand pada November ini,’katanya ketika ditemui, di sini.

Majlis Penyampaian Hadiah disempurnakan Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan, JPN Perlis, Sharudin Mahhmud. Hadir sama Pengurus Sokongan Teknikal, SASBADI Learning Solutions Sdn. Bhd, Kendrick Lee.

Pemenang bagi 11 kategori tersebut adalah, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Hwa Aik, Arau (Kategori Regular PRO Sekolah Rendah), Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi, Kangar (Kategori Regular PRO Sekolah Menengah Rendah), Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Perlis, Kuala Perlis (Kategori Regular PRO Sekolah Menengah Atas); Sekolah Menengah Kebangsaan Mata Ayer, Mata Ayer (Kategori Open Sekolah Menengah Rendah); Sekolah Menengah Kebangsaan Putra, Kangar (Kategori Open Sekolah Menengah Atas); Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Hwa Aik, Arau (Kategori NRC Football); Sekolah Agama Al-Islahiyah (Rendah), Simpang Empat (Kategori Regular ROOKIE Sekolah Rendah); Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ali Ahmad, Kangar (Kategori Regular ROOKIE Sekolah Menengah Rendah); Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Besar Utara, Padang Besar (Kategori Regular ROOKIE Sekolah Menengah Atas) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Mata Ayer, Mata Ayer (Kategori Reka Cipta dan Inovasi STEM).

Pemenang membawa pulang hadiah berupa trofi, medal dan sijil penghargaan. Ujar Dr. Abu Hassan lagi, PPK Mekatronik sangat aktif menganjurkan bengkel-bengkel robotic menggunakan Lego MINDSTORMS kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah di sekitar Perlis dan utara Kedah.

“Penganjuran program seperti ini merupakan sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) untuk dimanfaatkan oleh masyarakat secara keseluruhannya. Kreativiti dan inovasi tidak boleh diajar tetapi ia boleh diterap secara tidak langsung melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan secara terancang. “Saya percaya, melalui penganjuran program seperti ini akan dapat menjadi platform terbaik dalam memberi dan menyebarluaskan maklumat yang tepat dan terkini kepada pelajar sekolah dan guru amnya,”katanya. .