Persidangan International Conference on Mathematics, Engineering and Industrial Applications 2018 (ICoMEIA 2018)

Persidangan International Conference on Mathematics, Engineering and Industrial Applications 2018 (ICoMEIA 2018) telah berlangsung di Menara Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur dari 24 hingga 26 Julai 2018. ICoMEIA 2018 dianjurkan oleh Institut Matematik Kejuruteraan (IMK), Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Pulau Pinang serta penglibatan Universiti Thaksin, Thailand sebagai penaja bersama.

Persidangan selama tiga hari tersebut berjaya menghimpunkan 61 kertas kerja penyelidikan dalam bidang matematik, kejuruteraan dan aplikasi industri dari dalam dan luar negara. Antara negara peserta yang terlibat ialah dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Arab Saudi, Iraq, Sepanyol dan Australia.

ICoMEIA 2018 mengangkat tema “Menawan Cabaran Big Data Melalui Matematik dan Statistik” kerana menyedari perkembangan pesat bidang data analitik dan kaitannya dengan bidang kejuruteraan, industri, kewangan, perniagaan, kesihatan, media sosial dan lain-lain.
Pihak penganjur telah mengundang Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia untuk menyampaikan ucaptama. Ucapan beliau menekankan big data yang menjadi trend baharu akan memberi impak kepada negara dari segi ekonomi dan sosial secara keseluruhan.

Ucaptama kedua disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Norma Alias dari Universiti Teknologi Malaysia menyentuh tentang aspek teknikal big data termasuk perkaitannya dengan simulasi, rangkaian serta platform yang sesuai ke arah Revolusi Industri 4.0.

Seterusnya, ucaptama terakhir telah disampaikan oleh Encik Mohd Parid Sulaiman, Pengarah Program Kejuruteraan Strategik, Intel Products (M) Sdn. Bhd. Beliau menyentuh tentang halatuju industri dan jurang antara akademik-industri ke arah Revolusi Industri 4.0.

ICoMEIA 2018 telah dirasmikan oleh Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Para peserta ICoMEIA 2018 bergambar beramai-ramai di hadapan Menara Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.

 

Dato’ Profesor Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (tiga dari kiri) diapit Encik Mohd Parid Sulaiman (dua dari kiri) dan Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin (dua dari kanan) bersama Profesor Madya Dr. Muhammad Zaini Ahmad, Dekan Institut Matematik Kejuruteraan (paling kanan) dan Profesor Dr. Amran Ahmed, Pengerusi ICoMEIA 2018 (paling kiri).