Pauh Putra, 12 Julai – Raja Muda Perlis merangkap Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan Projek Antarabangsa : Kesukarelaan & Tanggungjawab Sosial Korporat (iVCORE) di Kampus UniMAP, di sini , semalam.

Projek julung kalinya diadakan ke peringkat antarabangsa berkenaan merupakan anjuran Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) melalui Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (POTENSI) UniMAP.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, hasrat MASTI melebarkan sayap bantuan kemanusiaan ke Thailand amat disokong malah Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut memperuntukkan bantuan RM10,000 bagi membantu asnaf di sana.

Titahnya, peruntukan itu adalah bagi menyokong hasrat iVCORE agar daapt disampaikan kepada penduduk asnaf dan anak-anak yatim di negara jiran berkenaan.

“Inisiatif merentasi sempadan seumpama ini harus diberi pujian kerana ia merupakan saluran bantuan kepada golongan yang amat memerlukan di luar sana berbanding kita di Malaysia.

Ini kerana di sini, pelbagai Agensi Kerajaan masih ‘mampu’ melaksanakan tanggungjawab membantu golongan asnaf namun di negara luar seperti Thailand tanggungjawab ini banyak digerakkan oleh individu yang prihatin semata-mata,” titah Baginda ketika melancarkan iVCORE di sini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan dan Presiden POTENSI, Raja Shah Erman Raja Ariffin.

Sementara itu, Presiden MASTI Azri Hohad berkata VCORE dilancarkan pada 2015 di Perlis sebelum terus dilaksanakan di beberapa negeri iaitu Sabah pada 2016 dan Terengganu (2017) serta merancang ke Sarawak bagi tahun ini.

Katanya, kali ini MASTI menerusi POTENSI berhasrat melebarkan lagi bantuan kemanusiaan bagi peringkat antarabangsa dengan memilih Kampung Khokkek di Chana, Thailand mulai esok (hari ini) hingga 15 Julai.

“Dua aktiviti utama telah dikenalpasti iaitu sumbangan dan pembinaan sekolah di masjid selain aktiviti sukan serta motivasi bersama anak-anak yatim Sekolah Santiwit di daerah berkenaan,” kata beliau ketika berucap sempena majlis pelancaran berkenaan.

Selain MAIPs, iVCORE turut mendapat sumbangan daripada pelbagai pihak seperti Persatuan di Universiti Awam (UA) masing-masing yang disertai hampir 50 peserta bagi menjayakan bantuan kemanusiaan itu.

Di samping bantuan kemanusiaan itu, MASTI turut mengadakan lawatan dan perbincangan bersama pentadbir Prince Of Songkhla University (PSU)bagi bertukar-tukar idea berkaitan tugasan pentdabir universiti serta mengukuhkan hubungan sedia ada.