Projek Bas Balik Raya UniMAP Hantar 263 Pelajar Pulang Beraya

Pauh Putra, 13 Jun  – Seramai 263 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) tidak perlu bersusah payah ke stesen bas menaiki bas ekspres pulang ke kampung apabila mereka hanya perlu menaiki bas dari dalam kampus.

Program Projek Bas Balik Raya UniMAP anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) itu diadakan khusus bagi pelajar pulang ke kampung berhari raya dengan dilancarkan pelepasannya oleh Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal, di tapak bas Kolej Kediaman Tun Abdul Razak (Pfi2) di kampus UniMAP, jam 10.00 malam di sini hari ini.

Turut hadir ke pelancaran itu ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan.

Yang Dipertua MPP UniMAP, Muhammad Amir Hakim Razali berkata program berkenaan mendapat kerjasama syarikat bas IR-SAF yang menyediakan sebanyak lapan buah bas bagi menghantar pelajar pulang ke kampung halaman mereka.

“MPP prihatin dengan rakan-rakan UniMAP yang tidak dapat membeli tiket bas kerana habis awal menjelang perayaan, jadi inisiatif ini dilaksanakan bagi membantu rakan-rakan dapat pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Selain itu, caj tambang yang dikenakan lebih murah berbanding bas ekpress biasa selain rakan-rakan juga dapat menjimatkan kos kerana tidak perlu menaiki kemudahan awam yang lain untuk ke stesen bas,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran program itu.

Sementara itu seorang pelajar tahun Satu Kejuruteraan Mekatronik, Abdul Rafieq Haiqal Abdul Rahman berkata dia teruja dapat pulang beraya bersama rakan-rakan UniMAP yang lain bersama-sama serta tidak perlu bergerak jauh untuk menaiki bas ekspres.

Katanya, dia juga dapat mengenali rakan-rakan baharu lain ketika dalam perjalanan pulang  serta sempat berkongsi pelbagai perkara.

“Ada rakan-rakan yang tidak tidur sepanjang perjalanan kerana seronok dapat berbual-bual sebelum tiba ke destinasi masing-masing selain dapat bersahur bersama,” katanya yang pulang ke Kuala Lumpur.

Selain pelancaran program, Dr Zul Azhar turut meluangkan masa mengedarkan juadah moreh kepada pelajar-pelajar di dalam bas sebelum bas bertolak.