Program Jejak Warisan Seni Hadrah UKR di Selatan Thailand

Kangar, 1 Jun- Bagi mencipta kelainan dalam mendalami kesenian hadrah, Unit Kebudayaan dan Rekreasi (UKR) Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) menyantuni masyarakat sempadan Thailand menerusi Program Jejak Warisan Seni Hadrah di Phattalung baru-baru ini.

 

Delegasi terdiri daripada 30 staf UKR dan lapan pelajar UniMAP itu juga berpeluang mengadakan persembahan sekaligus berkongsi seni hadrah Perlis dan Thailand bersama masyarakat di negara itu.

Pengarah UKR Mohd Izwan Izhar Haris berkata hadrah merupakan kesenian yang popular di kalangan masyarakat di utara semenanjung Malaysia kira-kira 60 tahun dahulu.

Katanya, kesenian itu kemudiannya turut dibawa hingga ke selatan Thailand memandangkan ia merupakan suatu kesenian yang berunsurkan keagamaan lalu mendorong pihaknya mengadakan program Jejak Warisan Seni Hadrah.

“Perkongsian seni antara Perlis dan Thailand ini diadakan di Khuandonwittaya School sekaligus memberi peluang kepada staf UKR dan pelajar dapat meluaskan lagi pengetahuan mengenai Hadrah masyarakat kedua-dua kawasan berkenaan,” kata beliau.

Selain perkongsian seni hadrah di sekolah, pelajar UniMAP dari kumpulan Sutramaya turut diberi peluang mengadakan persembahan di Halal Food Street Satun 2018.

Tambah Mohd Izwan, mereka juga mengadakan aktiviti sukarelawan dan rekreasi sempena program menjejaki seni hadrah itu iaitu berkayak di Manang sebagai aktiviti ‘teambuilding’.

“Aktiviti sukarelawan pula diadakan dengan mengadakan gotong royong membersihkan masjid terbesar di Hatyai, iaitu Masjid Nurul Din pada hari terakhir program termasuk menghulurkan sumbangan kepada ahli jawatankuasa masjid berkenaan.

“Ini membuktikan bahawa program ini tidak hanya memberi fokus kepada kesenian semata-mata namun UKR turut mengambil perhatian terhadap aktiviti kesukarelawan dan program pembangunan staf,” kata beliau.

Program itu berlangsung selama tiga hari dengan hasrat menjalinkan kerjasama dan jalinan yang baik bersama sempadan Thailand sekaligus mewujudkan semangat IMT-GT dan semangat ASEAN.