Sebanyak 7,388 Beg Darah Sumbangan Warga UniMAP Sejak 2010

Pauh Putra, 16 Mei- Kekerapan Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) menganjurkan kempen derma darah dua kali sebulan berjaya menyumbang lebih tujuh ribu beg darah kepada pusat-pusat pendermaan darah.

Jumlah itu yang terhasil sejak 2010 sehingga April tahun ini menjadikan UniMAP menerima beberapa anugerah penghargaan seperti Penganjur Kempen Derma Darah Paling Aktif Peringkat Wilayah Utara pada 2013 dan 2014.

Perkara itu dikongsi oleh Timbalan Naib Canselor UniMAP (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan ketika berucap merasmikan Kempen Derma Darah sempena Minggu Derma Darah Mahasiswa Prihatin Universiti Awam (UA) peringkat UniMAP di Kolej Kediaman Tunku Abdul Rahman, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Pusat Kesihatan Universiti, Dr Muhamad Iqbal Omar dan wakil Ketua Jabatan Patologi Hospital Tuanku Fauziah  (HTF) Kangar Dr Muhamad Faiz Fuad,

Mohd Foad berkata, selain penghargaan dari Pusat Derma Darah Wilayah Utara, UniMAP turut menerima penghargaan daripada HTF di atas sumbangan universiti itu sebelum ini sempena Hari Derma Darah Sedunia pada 2016.

Katanya, seramai 2,052 warga UniMAP turut mendaftar untuk menderma darah namun selepas disaring, mereka tidak berjaya menderma kerana tidak memenuhi kriteria menderma darah yang ditetapkan.

“Namun, seramai 10 mahasiswa merupakan penderma darah paling aktif melebihi 10 kali dengan kekerapan tertinggi dicatatkan ialah 28 kali sebagai tanda prihatin terhadap keperluan masyarakat khususnya di negeri ini yang memerlukan 160 beg darah seminggu dan 8,000 darah setahun,” katanya.

Tambahnya, selain daripada melaksanakan tanggungjawab sosial universiti kepada masyarakat, kempen-kempen itu dijalankan bagi memupuk semangat kesukarelawan di kalangan warga UniMAP khususnya mahasiswa.

“Sesungguhnya sumbangan warga UniMAP ini amat bernilai dan saya berharap menerusi kempen ini, lebih ramai warga UniMAP mendaftar untuk menderma darah,” katanya.

UniMAP menganjurkan kempen berkenaan dengan kerjasama Jabatan Patologi HTF pada 14 dan 16 Mei sempena Minggu Derma Darah itu yang membabitkan 20 UA di seluruh negara.