Penyelidik Wanita UniMAP Teruskan Kecemerlangan Di Euroinvent 2018 Di Romania

Kangar,19 Mei – Penyelidik wanita Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) terus cemerlang apabila mendominasi pingat emas di pameran inovasi antarabangsa ‘Europian Fair of Creativity and Innovation (EUROINVENT 2018)  di Iasi , Romania.

Mereka adalah Prof Madya Dr Noorhafiza Muhammad menerusi penyelidikannya ‘Potato Starch Nano-Composites As An Alternative Materials for Coronary Stent Applications yang turut meraih Anugerah Penyelidik Wanita Terbaik EUROINVENT dan Anugerah Khas Korea,dan  Dr Zarina Yahya dengan tajuk Geopolymer Underwater Concrete in Marine Construction.

Seorang lagi penyelidik wanita UniMAP yang berjaya meraih pingat emas ialah Liyana Jamaludin menerusi penyelidikan ‘Novel Multipurpose Geopolymer Coating for High Temperature Applications.

Ketua delegasi UniMAP, Pengurus Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) Prof Madya Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata selain tiga penyelidik wanita itu, seorang lagi penyelidik UniMAP Dr Mohd Fathullah Ghazli berjaya meraih pingat emas dan Anugerah Khas Thailand dengan penyelidikan beliau, New Discovery of Sm3+ in Reducing Cost for Red Phosphor in White LED Applications.

Menurutnya, kejayaan itu begitu bermakna kepada mereka memandangkan penyertaan di EUROINVENT 2018 membabitkan lebih 500 penyelidik dari lebih 20 negara sekaligus memberi saingan hebat di pameran berkenaan.

“Lebih manis, penyelidik wanita UniMAP dapat meneruskan kecemerlangan di EUROINVENT 2018 sepertimana tahun tahun terdahulu di pameran sama,” kata beliau yang turut meraih Excellence Innovation Award (the Prestigious Activity in The Field of Innovation & Invention) dari University Politechnica of Bucharest Romania.

EUROINVENT 2018 berlangsung mulai 17 Mei lalu dan dirasmikan oleh Menteri Penyelidikan dan Inovasi Romania, Nicolae Burnette.

Terdahulu, Dr Mohd Mustafa dan seorang pensyarah CEGeoGTech, Dr Mohd Arif Anuar Mohd Salleh turut dijemput sebagai pensyarah kunjungan di Georghe Asachi Technical University of Iasi, Romania.

Beberapa topik turut dikongsi kepada pelajar pascasiswazah universiti itu seperti “Current Geopolymer Research” oleh Dr Mohd Mustafa dan “Leadfree Solder Materials” oleh Dr Mohd Arif yang merupakan sebahagian aktiviti ERASMUS.

ERASMUS merupakan program di bawah Kesatuan Eropah untuk pendidikan, latihan , belia dan sukan. Ia berlangsung selama tujuh tahun bermula 2014 hingga 2020 manakala UniMAP memperolehi program berkenaan selama empat tahun.

Prof Madya Dr Noorhafiza bersama pingat dan anugerah khas yang diperolehinya di EUROINVENT 2018.

Delegasi UniMAP diketuai Prof Madya Dr Mohd Mustafa (tiga dari kanan) meraikan kejayaan membawa pulang empat pingat emas sempena EUROINVENT 2018 di Iasi, Romania.