Pasukan Bola Tampar Pantai Wanita UniMAPJuara Karnival Sukan Pantai Badan Berkanun 2018

Langkawi, 14 Mei- Pasukan Bola Tampar Pantai Wanita Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) menjuarai kategori itu di Karnival Sukan Pantai Badan Berkanun 2018 yang berlangsung mulai 10 hingga 13 Mei di Pantai Chenang, Langkawi.

Pasukan UniMAP yang diwakili Nurul Ashikin Mohd Josrie dan Siti Aminah Romly berjaya mengalahkan pasukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) A dengan kutipan mata 21-12 dan 21-14 di pusingan akhir, semalam.

Pengarah Pusat Sukan UniMAP, Suhizaz Sudin berkata sebelum menempah tiket ke peringkat akhir, UniMAP berjaya menewaskan Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan keputusan 21-14 dan 21-7 di peringkat separuh akhir.

Katanya, agensi-agensi yang menyertai karnival itu juga bukan calang-calang pasukan malah memberi cabaran kepada pasukan UniMAP walaupun sebelum ini UniMAP cemerlang di Sukan Badan Berkanun (SUKANUN).

“Kejayaan pasukan UniMAP ini sudah tentu membanggakan memandangkan ini adalah penyertaan julung kalinya kami di karnival ini.

“Justeru, kejayaan ini akan menjadi pendorong kepada kejayaan lain di karnival akan datang, dan UniMAP akan berusaha lebih gigih mulai sekarang,” kata beliau ketika dihubungi, baru-baru ini.

Di karnival berkenaan, UniMAP turut menghantar dua lagi penyertaan iaitu bola sepak pantai lelaki dan bola tampar pantai lelaki namun masing-masing hanya berjaya ke peringkat suku akhir serta kumpulan. Karnival Sukan Pantai Badan Berkanun itu merupakan sukan dwi-tahunan Persatuan Badan Berkanun Malaysia dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi karnival kali ini. Sebanyak lapan kategori sukan dipertandingkan di karnival itu antaranya ialah petanque pantai, sepak takraw pantai, bola jaring pantai, bola sepak pantai serta bola tampar pantai.