iFEST 1.0 Seimbangkan Mahasiswa Dengan Dunia Dan Akhirat

ARAU – Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) sentiasa memberikan perhatian dalam usaha melahirkan mahasiswa yang bersifat holistik tidak hanya mengejar kejayaan dunia malah menumpukan kepada keperluan akhirat.

Menyedari tanggungjawab mendidik mahasiswa tentang nilai-nilai Islam tersebut, Pusat Islam UniMAP dengan kerjasama Jawatankuasa Surau Pauh Putra menganjurkan Islamic Festival 2018 ( iFEST 1.0).

Pengarah Pusat Islam UniMAP, Prof. Madya Dr. Shuhairimi Abdullah berkata, penganjuran iFEST 1.0 turut memberi peluang kepada Sahabat Pusat Islam dan MPKK TAR membantu menyemarakkan budaya  intelegensia dalam kalangan warga kampus di UniMAP.

“Sebagai sebuah gedung ilmu, kita terpanggil untuk sebaik mungkin bagi menerapkan nilai-nilai Islam kepada pelajar di sini dan buat pertama kalinya, kami ingin menjadikan iFEST sebagai acara tahunan Pusat Islam UniMAP.

“InsyaAllah di masa hadapan kita akan menambahbaik festival ini dengan lebih banyak program pengisian yang dapat menarik perhatian golongan remaja untuk turut serta dengan aktiviti keagamaan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

iFEST 1.0 merupakan karnival selama sehari semalam anjuran Pusat Islam UniMAP bertempat di Surau UniMAP, Kampus Pauh, Putra. Antara pengisian Qiyamullail Perdana, Kuliah Dhuha Perdana yang disampaikan Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Asri Zainal Abidin, Forum Perdana dan Kuliah Maghrib Perdana bertajuk ‘End of The World True or Not’ oleh Dr. Danial Zainal Abidin.

Sementara itu bagi sahabat Pusat Islam saudara Muhammad Hanafi Yaacob berkata program yang pertama kali dianjurkan Sahabat Pusat Islam dan MPKK TAR UniMAP itu diharap dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan mahasiswa melalui pendekatan mahabbah itu sendiri.

“Semoga penganjuran iFEST 2.0 nanti akan menjadi pencetus kepada mahabbah iaitu kasih sayang kerana melalui aktiviti sebegini saya yakin mampu menyatukan seluruh warga UniMAP.”katanya.