Dua Persidangan Serentak Di Vietnam Himpun 250 Kertas Persidangan

Kangar, 2 Mei – Dua persidangan antarabangsa anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) berjaya menghimpunkan 250 kertas dari lebih 10 buah negara yang diadakan di Hotel Edenstar, Ho Chi Minh City Vietnam.

Kedua-dua persidangan berkenaan ialah 6th International Conference on Advanced Material Engineering & Technology  (ICAMER 2018) dan 4th International Conference on Green Design & Manufacture.

Pengurus Pusat Kecemerlangan Geopolimer & Teknologi Hijau (CEGeoGTech) UniMAP Prof Madya Dr Mohd Mustaffa Al-Bakri Abdullah berkata persidangan-persidangan itu merupakan anjuran pusat kecemerlangan berkenaan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan PPK Pembuatan UniMAP.

Katanya ia berlangsung selama dua hari mulai 29 April dan berakhir kelmarin mendapat sambutan menggalakkan penyelidik-penyelidik dari negara Jepun, United Kingdom, Turki, Thailand, Kuwait, Taiwan, India, Indonesia, Indonesia dan lain-lain lagi.

“Persidangan antarabangsa ini bertujuan memartabatkan lagi bidang bahan termaju, geopolimer, rekabentuk hijau dan pembuatan dengan  menghimpunkan pakar-pakar dari negara lain bagi berkongsi kepakaran serta penyelidikan yang dihasilkan,” kata beliau ketika dihubungi, semalam.

Tambahnya, selain persidangan-persidangan itu satu bengkel geopolimer antarabangsa (1st International Geopolymer Workshop -IGeoW 2018) juga diadakan khas bagi penyelidik dalam bidang geopolimer duduk bersama membincangkan halatuju penyelidikan.

“Selain itu, sempena bengkel khas itu turut mendapat persetujuan pakar-pakar geopolimer dari negara China, Taiwan, Australia dan beberapa negara lagi bagi mendapatkan geran secara bersama, mobiliti pelajar dan staf serta penyertaan pelajar,” katanya.

 

Profesor Long-yuan Li, Profesor Kejuruteraan Struktur, Universiti Plymouth membentangkan kertas persidangan.

Peserta persidangan geopolimer anjuran UniMAP di Vietnam baru-baru ini.