USR CGS UniMAP Ceriakan Murid Pendidikan Khas Sk Putra

Kangar, 25 April – Prihatin dengan murid-murid program pendidikan khas integrasi masalah pembelajaran (PPKIBP) di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra, Pusat Pengajian Siswazah (CGS) Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) menganjurkan program tanggungjawab sosial universiti (USR) di sekolah itu, hari ini.

Program USR ‘Menambahbaik Lanskap dan Kelas PPKIBP’ itu membabitkan hampir 100 pelajar doktor falsafah (PhD) UniMAP,staf CGS, Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) serta murid program berkenaan.

Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata beliau amat menyokong program USR seperti itu memandangkan UniMAP juga merupakan sebuah institusi pendidikan.

Katanya, adalah lebih baik UniMAP memberi fokus terhadap bidang yang sama dalam menjalankan USR sepertimana program yang dianjurkan hari ini.

“Malah, saya juga berharap pendedahan mengenai kemahiran kepada murid-murid sekolah harus dititikberatkan sejak mereka di sekolah rendah yang kemudiannya akan dibawa ke peringkat seterusnya bagi menggerakkan kemajuan negara di masa akan datang,” kata beliau ketika berucap merasmikan program berkenaan.

Turut hadir Ketua Unit Pendidikan Swasta Jabatan Pendidikan Negeri, Sa’ezan Md Saad, Guru Besar SK Putra Ibtisam Othman, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Prof Ir Dr Rezuwan Kamaruddin, Dekan CGS Prof Madya Ir Dr Mohd Khairuddin Md Arshad, dan Pengarah Pusat Hal Ehwal Antarabangsa UniMAP Dr Salsuwanda Selamat.

Sementara itu, seorang pelajar antarabangsa yang kini mengikuti PhD di Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan (PPIPT) UniMAP , Miftahu Idris berkata ini adalah pengalaman pertamanya menyertai program USR dan teruja dapat bergaul dengan murid-murid sekolah yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Katanya, beliau yang berasal dari Nigeria itu seronok dapat menyertai program seperti ini sekaligus dapat mengenali suasana pendidikan di sekolah yang berbeza dari negara asalnya.

“Saya dan rakan-rakan juga tertarik dengan persekitaran dan budaya masyarakat di negara ini menjadikan salah satu faktor kami memilih melanjutkan pengajian di UniMAP,” katanya ketika ditemui di sini.

Selain gotong-royong menceriakan halaman sekolah, turut diadakan lukisan mural bersama Kelab Pelukis Negeri Perlis bagi menceriakan murid-murid istimewa sekolah itu serta sukaneka bersama murid- murid PPKIBP.

Malah, beberapa individu perseorangan dan pusat tanggungjawab di UniMAP turut memberi sumbangan berupa alat tulis kepada mereka.