KKTAG Juara Perpaduan FESTKOL 2018

Pauh Putra, 23 April – Kolej Kediaman Tan Sri Aisyah Ghani (KKTAG) Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) dinobatkan Juara Perpaduan sempena Festival Kebudayaan Antara Kolej Kediaman (FESTKOL) 2018 yang berlangsung mulai 19, 20 dan 22 April.

Lebih manis apabila pasukan kolej berkenaan turut diumumkan meraih dua kejuaraan iaitu bagi kategori pertandingan Boria dan kategori Dikir Barat ketika Majlis Penutup FESTKOL 2018 di Dewan Kecemerlangan di sini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Prof Ir Dr Rezuwan Kamaruddin merasmikan upacara Majlis Penutup FESTKOL 2018 anjuran Unit Kebudayaan dan Rekreasi (UKR) dengan kerjasama MPKK Kolej Kediaman Tun Abdul Razak (PFi2) itu.

Beliau berkata walaupun UniMAP merupakan universiti berteraskan kejuruteraan, namun tidak menghalang mahasiswa universiti itu untuk bergiat aktif dalam aktiviti kesenian dan kebudayaan.

“Saya berharap di masa akan datang lebih banyak kategori dipertandingkan dengan memberi peluang kebudayaan kaum lain yang berada di UniMAP dapat diketengahkan bersama-sama kebudayaan sedia ada di pertandingan ini.

Ia bertujuan agar semua lapisan pelajar diberi pendedahan mengenai budaya kaum-kaum lain di negara ini termasuk pelajar antarabangsa,” kata beliau ketika berucap merasmikan penutupan FESTKOL 2018.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Prof Dr Uda Hashim , Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan, Pengarah UKR Mohd Izwan Izhar Haris serta pengetua-pengetua kolej kediaman.

Sementara itu, Pengetua KKTAG Ismail Ibrahim berkata beliau melahirkan penghargaan terhadap komitmen penghuni KKTAG yang sama-sama bersepakat bagi menghasilkan kejayaan berkenaan.

Katanya, lebih menarik penyertaan Boria dari KKTAG mendapat perhatian juri apabila kebudayaan berasal dari Pulau Pinang itu dikendali tekong yang berasal dari Sarawak.

“Selain itu,lebih istimewa penyertaan pasukan KKTAG ke FESTKOL 2018 mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi dari Persatuan Anak-anak Negeri Kelantan (HIMSAK), Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) Persatuan Siswa Darul Aman (ANSAR), Gerakan Mahasiswa Johor (GEMA’J) serta Persatuan Anak Sarawak Semenanjung (PASS),” kata beliau ketika ditemui selepas majlis itu.

Tambahnya, hasil kerjasama mereka bersama Majlis Penghuni Kolej Kediaman (MPKK) kolej kediaman itu tanpa mengira perbezaan bangsa dan kaum menjadi penyuntik semangat pasukan menjalani latihan seterusnya menjuarai FESTKOL 2018.

FESTKOL 2018 merupakan festival julung kali diadakan bagi menggilap bakat mahasiswa UniMAP seterusnya bersaing di Festival Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (FestKUM) anjuran Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) dan One World Culture di masa akan datang.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu Boria, Nasyid dan Dikir Barat membabitkan penyertaan enam kolej kediaman di UniMAP.

Bagi pertandingan nasyid, pasukan Kolej Kediaman Pauh Putra menjuarai kategori berkenan.