UniMAP Jalin Kerjasama Kejuruteraan Berkaitan Tentera Sempena DSA 2018

Kuala Lumpur, 17 April – Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) adalah antara institusi pendidikan yang terlibat secara langsung sempena Persidangan Pertahanan Asia (DSA) 2018 ke-16 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2018 yang diadakan di Pusat Pameran & Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata UniMAP mengambil peluang menjalinkan kerjasama dalam bidang kejuruteraan berkaitan ketenteraan dengan syarikat Empayar Paradiqma Sdn Bhd menerusi upacara menandatangani surat hasrat (LOI) sempena persidangan itu.

Katanya, kerjasama itu jelas membuktikan impak pembangunan dan penyelidikan (R&D) bukan hanya di peringkat akademik sahaja malah merentasi pelbagai fungsi dan bidang.

“Kerjasama strategik ini bakal memberi kesan secara langsung kepada mahasiswa UniMAP khususnya dalam konteks kebolehpasaran graduan dapat ditingkatkan,” katanya dalam sebuah kenyataan di sini.

Tambahnya, Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Pembuatan UniMAP diberi tanggungjawab bagi menyemarakkan kerjasama itu dalam usaha keterlihatan UniMAP di peringkat antarabangsa.

Surat hasrat itu ditandatangani oleh Zul Azhar sendiri bagi mewakili UniMAP manakala Empayar Paradiqma diwakili Pengarahnya, Dato’ Hazizan Ahmad dengan disaksikan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Canselor UniMAP.

Empayar Paradiqma merupakan sebuah syarikat yang terlibat dengan industri ketenteraan berpengkalan di Perak.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin turut menyampaikan titah ucaptama persidangan meja bulat ‘Chief Army Round Talk (ChART) 2018 di persidangan berkenaan.

 

CAPTION GAMBAR: Zul Azhar dan Hazizan menandatangani LOI di antara UniMAP dan Empayar Paradiqma Sdn Bhd disaksikan Tuanku Canselor UniMAP sempena DSA 2018.