INEE Beri Pendedahan Bidang Kejuruteraan Nano Kepada Pelajar Sekolah

Ayer Hitam, 11 April – Bagi memberi pendedahan dalam bidang kejuruteraan nanoteknologi , Institut Kejuruteraan Nano Elekronik (INEE) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyertai pameran Sains , Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), di sini, hari ini.

Pameran berkenaan diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hitam, sempena Minggu STEM dan Kerjaya 2018 anjuran sekolah berkenaan.

Pengarah INEE, Prof Madya Dr Ruslinda A.Rahim berkata selain pameran, pasukan INEE turut mengadakan aktiviti kuiz dan taklimat kerjaya bersama kira-kira 300 pelajar tingkatan tiga hingga lima sekolah itu.

Ujarnya,beliau bersama pasukannya iaitu Dr Mohammad Nuzaihan Md Nor selaku penyelaras program, Dr Nur Hamidah Abdul Halim dan Ts En Jasni Mohamed Ismail mengambil inisiatif menyertai pameran itu agar generasi muda diberi pendedahan lebih awal mengenai  kejuruteraan nanoteknologi.

“Kita harus memberi pendedahan kepada mereka sejak mereka sekolah lagi agar apabila mereka ke universiti, mereka sudah mengetahui dengan lebih meluas mengenai kejuruteraan, khususnya kejuruteraan biosensor dan nanoelektronik,” kata beliau.

Tambah beliau, ini bertepatan dengan hasrat kerajaan yang mahu melahirkan  generasi muda berteknologi sekaligus menjadi pemangkin pembangunan negara.

“Selain itu, pameran ini berperanan memberi maklumat mengenai kepentingan teknologi dalam kehidupan seharian dan pembangunan masyarakat untuk dimanfaatkan mereka pada masa hadapan, “ katanya.

Selain SMK Ayer Hitam dan UniMAP, SMK Tanjung Pauh dan SMK Mahawangsa turut menjayakan pameran berkenaan.

Menurut Dr Ruslinda, INEE berhasrat meneruskan program tanggungjawab sosial (CSR) seperti itu di masa hadapan dengan membawa pelajar sekolah sekitar Perlis dan Kedah ke INEE.

“Secara tidak langsung pelajar sekolah dapat melihat sendiri teknologi yang ada di INEE bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan minat mereka terhadap kejuruteraan nanoteknologi,” katanya.