Huzili Hussin Dilantik Sebagai Pakar Rujuk JKM

Arau, 4 April – Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (iKOM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files), Prof. Madya Dr. Huzili Hussin telah dilantik menjadi pakar rujuk Bahagian Kaunseling dan Psikologi, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKMN) Perlis berkuatkuasa serta merta. 

Ini adalah selaras dengan perancagan strategik JKM 2017 yang menggariskan beberapa perancangan bagi menyebarluaskan perkhidmatan kaunseling dan psikologi kepada komuniti.

Menurut Huzili, lantikan beliau adalah seiring dengan prinsip Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang diperkenalkan oleh kerajaan tidak lama dulu.

“Saya bersyukur kerana dilantik menjadi pakar rujuk JKMN sekaligus menyokong NBOS yang menggalakkan kerjasama dan perkongsian antara agensi.

“Inilah masa untuk saya berbakti kepada masyarakat melalui perkongsian kepakaran dan ilmu dari sudut ahli akademik,” katanya.

Huzili yang dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Sains Malaysia mempunyai kepakaran dalam psikologi kaunseling dan sub bidangnya adalah Cognitive Behavioral Therapy Intervention.

Beliau merupakan kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia dan telah menjalankan banyak kajian berkaitan isu-isu psikologi penagihan dadah.

Atas kepakarannya, beliau juga turut dilantik sebagai salah seorang panel penggubal garis panduan pencegahan penyalahgunaan dadah, substans dan alkohol peringkat Kementerian Pendidikian Tinggi.