INEE Lancar Papan Skor Penerbitan Pertama Di UniMAP

Kangar, 30 Mac – Bagi memberi motivasi dan inspirasi kepada staf Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files), Institut Kejuruteraan Nano Elektronik (INEE) melakar sejarah melancarkan Papan Skor Penerbitan  (Scoreboard Publication) serta Papan Skor Digital (e-scoreboard) institut itu, di sini, hari ini.

Pelancaran Papan Skor Penerbitan itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniMAP, Prof Dr Uda Hashim.

Pengarah INEE UniMAP, Prof Madya Dr Ruslinda A. Rahim berkata pelancaran papan skor berkenaan adalah yang pertama diwujudkan di UniMAP serta di kalangan Universiti Awam (UA) lain.

Katanya, ia dilancarkan sebagai gambaran dan satu strategi INEE agar mampu menghasilkan penerbitan tertinggi dan berkualiti di samping ke arah pengurangan penggunaan kertas bagi menjimatkan kos percetakan.

“Walaupun INEE sebuah unit yang kecil namun budaya kerja berkumpulan penyelidik INEE bersama pusat tanggungjawab (PTj) lain di UniMAP serta pelbagai institusi luar yang lain dapat dihasilkan menerusi penubuhan papan skor ini sekaligus mampu meningkatkan jumlah penerbitan,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan sempena majlis pelancaran papan skor itu.

Ujarnya, papan skor digital akan dikemaskini setiap dua minggu sekali menerusi pautan laman web INEE iaitu https:// inee.UniMAP.edu.my.

“Dengan penubuhan papan skor ini juga diharapkan menjadi titik tolak dan menyuntik semangat penyelidik-penyelidik UniMAP meningkatkan jumlah penerbitan sekaligus menjadi rujukan penyelidik dari seluruh dunia,” katanya.

Dr. Ruslinda turut mengulas mengenai misi INEE  iaitu untuk menjadi satu penanda aras dan institusi rujukan dalam bidang niche kejuruteraan elektronik nano dengan kajian dan pembangunan peranti berdimensi nano yang menjurus kepada aplikasi nano biosensor.

“Keupayaan ini telah dipamerkan melalui pencapaian yang sangat memberangsangkan. Contohnya, bagi tempoh lima tahun terakhir iaitu antara 2013 hingga 2017, penyelidik INEE telah menghasilkan jumlah penerbitan sebanyak 661 artikel di mana lebih 50% menerusi jurnal bertaraf Q1 dan Q2 dengan kumulatif sitasi sebanyak 2149.

“Justeru ratio penerbitan per staf dan ratio sitasi per artikel masing-masingnya adalah 50.8 dan 3.25 untuk sela masa 5 tahun,” katanya.

Tambah beliau, perkara ini berjaya dicapai menerusi perolehan geran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa berjumlah RM 2,339,596 dari 34 geran penyelidikan yang berjaya diperolehi.

“Melalui geran penyelidikan ini juga, INEE berupaya menghasilan 18 dan 13 graduan diperingkat PhD dan MSc masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Dr Uda berkata penubuhan papan skor itu diharapkan menjadi contoh bukan sahaja kepada UniMAP tetapi kepada UA lain di Malaysia berikutan momentum penghasilan output penerbitan di dalam Scopus juga perlu ditingkatkan bagi memenuhi kehendak semasa Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan QS.