ASG 2017 RAIKAN 164 STAF CEMERLANG UniMAP

Kangar  , 29 Mac  – Seramai 164 staf Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) diraikan dalam majlis Anugerah Seri Gemilang (ASG) 2017 sebagai pengiktirafan dan penghargaan kecemerlangan mereka yang diadakan di Hotel Seri Malaysia, di sini, hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 127 penerima menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), 31 penerima menerima Anugerah Khas Perkhidmatan Cemerlang (AKPC) yang terdiri daripada tujuh kategori dan enam penerima Anugerah Penghargaan Khas (APK).

Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata dengan pengiktirafan seperti itu, beliau percaya staf menjadi lebih teruja membuktikan kecekapan dan kebolehan masing-masing.

Menurutnya, di usia UniMAP mencecah 17 tahun tanpa komitmen dan daya usaha warganya UniMAP tidak mungkin mampu mencapai kejayaan-kejayaan manis sepanjang tempoh itu.

“Antara kejayaan terkini ialah UniMAP kini berada pada tangga ke-450 terbaik dunia oleh Kedudukan Universiti Dunia Quacquarelli Symonds (QS) mengikut subjek dalam bidang kejuruteraan dan teknologi,” kata beliau ketika berucap di majlis itu.

Katanya, kedudukan itu sebagai satu pengukuhan yang membanggakan.

Turut berkenan berangkat hadir menyerikan majlis gilang gemilang universiti ialah Canselor UniMAP, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Pro Canselor UniMAP, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Dato’ Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis wakil Menteri Besar Perlis dan Tuan Jafperi Othman Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU).

Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin ketika bertitah sempena majlis itu menyuarakan hasrat untuk melihat seluruh warga UniMAP menjadi warga terbaik dengan menggariskan 10 ciri prinsip pekerja cemerlang.

Titahnya, antara ciri itu ialah sebagai kakitangan, seseorang itu harus proaktif dan berinisiatif untuk memulakan usaha sebelum ‘dipaksa’ oleh keadaan yang mendesak atau diarah untuk melakukannya.

“Selain itu, sifat amanah adalah perkara asas kepada keharmonian dan kejayaan dalam semua perkara. Jadilah orang yang boleh dipercayai, jujur, ikhlas, sentiasa bercakap benar, tidak menipu, mencuri dan menerima atau memberi rasuah,” titah baginda.

Terdahulu,  satu majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara University of Medea, Algeria diwakili Prof Dr Abdallah El-Hadj (Director of Laboratory of Mechanic, Physic and Mathematical Modelling (Lmp2m), dengan UniMAP  yang diwakili Dr Zul Azhar sebelum majlis bermula bertujuan menjalinkan kerjasama pertukaran staf dan pelajar, bidang penyelidikan, penganjuran seminar serta program-program lain.

Turut diadakan majlis sambutan Hari Keputeraan Pro Canselor UniMAP ke 48 tahun.