UniKU Buka Peluang Pelajar UniMAP Belajar Bahasa Korea Di Korea Selatan

Busan, 23 Februari - Seramai lapan orang pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) telah mengikuti Program UniMAP-Korean Universities Study Travel (UniKU) di Korea Selatan baru-baru ini.

Program tersebut, yang dianjurkan oleh Pusat Bahasa Antarabangsa (PBA) telah berlangsung pada 26 Januari hingga 11 Februari 2018, melibatkan Dong-EUI University,di sini.

Program tersebut membolehkan pelajar UniMAP mempelajari bahasa Korea dalam persekitaran pembelajaran yang autentik dan mendapat pemindahan dua kredit bagi kursus ini untuk tujuan pengijazahan.

Di samping itu, ia bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar UniMAP  menyantuni budaya Korea dan menjalin persahabatan dengan pelajar universiti di negara itu.

Seorang pelajar Perniagaan Antarabangsa, Lim Ying Thing yang juga ketua kumpulan pelajar ke sana berkata, dia pernah menanam impian ke negara Korea dan tidak menyangka dapat menjejakinya ketika masih lagi belajar.

Katanya,  sepanjang di negara itu dia sangat teruja mendekati masyarakat Korea selain mempelajari bahasa mereka yang tulen dengan tenaga pengajar berbangsa Korea.

“Saya dan rakan-rakan juga cuba berbahasa Korea ketika beramah mesra dengan masyarakat Korea menyebabkan mereka sangat terkejut dan tertarik pula untuk mengetahui lebih lanjut mengenai negara kita.

“Kami  juga dapat melihat sendiri budaya yang diamalkan mereka di sana termasuk berkenaan urusan seharian terutama apabila menggunakan kemudahan awam yang wajar dicontohi oleh masyarakat negara kita,” katanya.

Katanya, dia juga begitu meminati drama dan lagu Korea menyebabkan ia adalah salah satu sebab dia memilih bahasa Korea sebagai bahasa ketiga.

“Sedikit sebanyak saya dapat menonton drama Korea kegemaran saya tanpa sarikata terjemahan kerana sudah banyak memahami bahasa itu hasil mengikuti kursus bahasa itu sehingga ke tahap empat,” katanya.

Selain Lim dari Pusat Pengajian Inovasi Peniagaan dan Teknousahawan(PPIPT) , tujuh lagi pelajar UniMAP adalah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bahan, PPK Pembuatan, PPK Alam Sekitar dan PPK Bioproses bersama tenaga pengajar PBA, Cik Wang Jing mengikuti program UniKU berkenaan.

Seorang lagi pelajar tahun tiga Kejuruteraan Awam, Nur Akma Balqis Mazilan berkata dia menimba peluang dan pengalaman di Korea dengan sebaiknya.

Menurutnya, dengan mengikuti pembelajaran bahasa Korea di negara itu dia dapat meningkatkan kemahiran menggunakan bahasa itu dengan lebih tepat.

“Selain itu, pengalaman ke sana juga seolah-olah bagai mimpi kerana apa yang dilihat dalam drama sebelum ini akhirnya dapat dilihat dengan mata sendiri secara langsung.

“Malah, kami juga berpeluang menjalin persahabatan bukan sahaja dengan rakan-rakan Korea malah rakan-rakan dari negara lain yang turut mempelajari bahasa Korea di universiti tersebut,” katanya.

Terdahulu, Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata program itu adalah program julung kali diadakan yang terbuka kepada dua kelompok pelajar kursus bahasa Korea UniMAP,  iaitu mereka yang mengambil kursus Bahasa Korea untuk memenuhi keperluan kurikulum masing-masing, dan juga pelajar yang bakal mengambil ujian kemahiran bahasa Korea (TOPIK).

Katanya, pelajar berpeluang mengikuti pengajian bahasa Korea menggunakan pendekatan “immersion” dan merasai sendiri pengalaman belajar di universiti berprestasi tinggi di republik yang terkenal itu. Malahan ada perancangan untuk program UniKU melibatkan universiti-universiti lain lagi di negara itu pada masa hadapan.

Menurutnya, secara tidak langsung program itu meningkatkan keterlihatan UniMAP pada persada antarabangsa selain mengeratkan hubungan kerjasama yang lebih erat dengan universiti-universiti berprestij di Korea Selatan.

“Program ini turut memberi peluang kepada kakitangan PBA UniMAP di bawah teraju pengarahnya, Prof Dr Harshita Aini Haroon untuk berkongsi ilmu dengan tenaga pengajar di sana, yang boleh dipraktikkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Korea di UniMAP,” katanya.