Pelajar UniMAP Raih Anugerah Presiden REAM Projek Tahun Akhir Pelajar

Kangar , 24 Januari  – Seorang pelajar Teknologi Kejuruteraan Universiti Malaysia  Perlis (UniMAPTemp files) dianugerahkan Anugerah Projek Tahun Akhir Kejuruteraan Awam Presiden Pertubuhan Kejuruteraan Jalan Malaysia (REAM), Sabtu baru-baru ini.

Pelajar itu, Muhammad Faiz Zainal berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000, piala dan sijil, satu tahun keahlian percuma REAM serta dapat mengikuti minimum enam bulan Latihan Kebolehpasaran Siswazah di syarikat  sektor korporat dalam bidang kejuruteraan awam.

Muhamad Faiz berkata dia tidak menyangka terpilih menerima anugerah itu sebelum ini kerana tidak mengetahui adanya anugerah seperti itu kerana hanya mahu melakukan yang terbaik dalam hasil kajiannya.

Katanya, dia terkejut apabila dihubungi pihak universiti memaklumkan  kejayaannya meraih anugerah itu sambil menyifatkan ia adalah hasil bimbingan penyelianya, Liyana Ahmad Sofri serta pensyarah-pensyarah Teknologi Kejuruteraan Awam selain keluarga dan rakan-rakan sekuliah.

“Saya cuma berharap kajian itu memberi impak kepada industri dan alam sekitar dengan tajuk kajian saya ialah“Use of Palm Kernel Shell from Agriculture Waste as Partial Replacement for Course Aggregate in Hot Mix Asphalt”,” katanya ketika dihubungi selepas Majlis Makan Malam Gala Dinner REAM.

Dalam majlis itu , Menteri Kerja Raya,Dato’ Sri Fadillah Yusof menyampaikan anugerah berkenaan kepada lima pelajar terbaik yang terpilih termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Pahang dan UniMAP sendiri.

Menurut Muhamad Faiz,  tesis itu dihasilkan bertujuan bagi mengurangkan penggunaan batu baur kasar dalam pembinaan jalan raya dalam usaha memastikan sumber alam semulajadi tidak terancam.

“Selain itu tesis itu dihasilkan bagi mengurangkan bahan sisa seperti tempurung kelapa sawit agar tidak membawa pencemaran kepada alam sekitar.

“Hasilnya,bahan sisa itu dijadikan gantian separa untuk batu baur kasar dalam pembinaan jalan raya sekaligus dapat memelihara alam sekitar kita,” katanya.

Selain Muhammad Faiz, tujuh pelajar UniMAP  daripada 75 pelajar dari 10 Universiti Awam (UA) lain pula menerima sumbangan Dana Pendidikan REAM bernilai RM1,500 setiap orang.

REAM menyediakan insentif pendidikan dalam bentuk pemberian bantuan kewangan kepada pelajar cemerlang dari keluarga kurang berkemampuan dengan objektif dapat membantu melahirkan lebih ramai profesional yang berkebolehan khususnya dalam bidang kejuruteraan awam.