UniMAP Intai Peluang Kerjasama Industri Sarung Tangan

Kangar  , 22 Disember – Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) mengintai ruang dan peluang kolaborasi dengan syarikat pengeluar sarung tangan industri merangkumi bidang penyelidikan, peluang pekerjaan serta latihan industri.

Bagi merealisasikan hasrat itu UniMAP diketuai Naib Canselornya, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal mengadakan lawatan dan perbincangan ke Shorubber (Malaysia) Sdn Bhd disertai Pengarah Urusannya, Keizo Sato.

Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan UniMAP, Prof Madya Dr Khairel Rafezi Ahmad dan Pengarah Shorubber, Imran Ibrahim turut menyertai perbincangan itu.

Zul Azhar berkata, UniMAP menerusi Pusat Kerjasama Industri dan Agensi Kerajaan (CIGC) berhasrat menjalinkan kerjasama dengan industri itu adalah bagi meneroka aktiviti penyelidikan bersama di samping menempatkan kepakaran UniMAP sekaligus mewujudkan jaringan strategik yang efektif.

Katanya, UniMAP mempunyai kira-kira 3,500 pelajar yang mengikuti latihan industri bagi tahun 2017 justeru kerjasama strategik dengan rakan industri bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar tetapi dapat membantu industri membangunkan teknologi bersama di masa hadapan.

“Aktiviti-aktiviti yang dijalankan bersama pihak industri boleh membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan UniMAP dan menjadi platform terbaik bagi bakal graduan mengenal pasti peluang kerja yang bersesuaian serta mengikut kehendak industri masa kini,” kata beliau, di sini, semalam.

Delegasi UniMAP turut dibawa melawat bagi melihat sendiri pengendalian mesin-mesin bagi memproses pengeluaran sarung tangan syarikat itu yang juga anak syarikat Showa Glove Japan.

Sementara itu, Sato menyambut baik hasrat UniMAP dan teruja untuk berkolaborasi dengan universiti kejuruteraan itu dalam memperkasa manfaat bersama yang mampu memberi impak kepada bidang kepakaran yang dipelopori syarikatnya.

Menurutnya, sebelum ini ramai pelajar UniMAP yang mengikuti latihan industri di syarikat itu malah turut menceburi kerjaya mereka di situ.

Shorubber yang beroperasi di negeri Perlis sejak 1991 itu adalah sebuah syarikat pengeluar sarung tangan industri berasaskan getah asli, getah tiruan, PVC dan Polyurethane selain mempunyai hampir 1800 tenaga kerja tempatan manakala hampir 600 lagi merupakan tenaga kerja asing.   

Produk yang dihasilkan syarikat itu adalah 100 peratus bagi pasaran luar dan diuruskan oleh Showa Group Company.