UniMAP Penderma Terbesar Tabung Darah HTF

Pauh Putra, 22 Dis  – Majoriti darah yang didermakan kepada tabung darah Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar adalah terdiri daripada penderma di kalangan warga Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files).

Kenyataan itu dikongsi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Guar Sanji, Jafperi Othman yang juga ahli lembaga pengarah UniMAP (LPU) ketika forum Ilmuwan dan Masyarakat – bagai Aur dengan Tebing yang bertajuk Pengaruh UniMAP Dalam Pembangunan Negeri Perlis yang diadakan di sini, hari ini.

Jelasnya,  ia membuktikan bahawa UniMAP memberi pengaruh serta sumbangan yang cukup besar kepada pembangunan negeri terkecil di Malaysia itu menerusi program-program derma darah yang sering diadakan.

“Pembangunan UniMAP sejak penubuhannya turut merancakkan pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat negeri ini sekaligus membawa banyak perubahan terutama dari segi pertumbuhan ekonomi, perkembangan peridustrian, prasarana serta perumahan,” kata beliau di forum anjuran Pejabat Majlis Profesor UniMAP dengan kerjasama Majlis Profesor Negara (MPN) yang dikendalikan Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Chang Peng Kee sebagai moderator forum.

Selain Jafperi, Ketua Kluster Perpaduan Nasional, MPN Prof Dr Mansor Mohd Noor, Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad dan Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi (iKOM) UniMAP yang juga motivator, Prof Madya Huzili Hussin adalah antara panel forum berkenaan dengan tajuk yang berbeza.

Ketua Pegawai Maklumat MPN, Prof Dr Ahmad Zaki Abu Bakar turut menyampaikan ucaptama bagi forum itu bertajuk Peranan Profesor dalam Pembangunan Masyarakat.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Datin Hazizah Wahab , Naib Canselor UniMAP Dato Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal dan Pengerusi Majlis Profesor UniMAP Dato’ Prof Dr Ali Yeon Md Shakaff.

Terdahulu, Zul Azhar ketika menyampaikan ucapan aluan berkata ahli akademik yang diamanahkan membimbing pelajar merupakan para ilmuwan yang tanggungjawabnya lebih besar daripada sempadan kawasan kampus.

“Ilmu yang ada dalam diri mereka itu bukan milik mereka sahaja tetapi milik masyarakat setempat di mana mereka boleh menggunakan kepakaran yang dimiliki untuk meningkatkan kualiti hidup anggota masyarakat.

“Ini mungkin dilakukan melalui projek-projek penyelidikan, khususnya apa yang disebut ‘translational research’, atau aktiviti-aktiviti langsung bersama masyarakat, “ kata beliau merujuk kepada antara sumbangan UniMAP kepada komuniti setempat.