Let’s Hit The Ground’ Rancakkan Seminar Awani Rangers UniMAP

Oleh :

Mc Ziano Bryn Jaugis dan Athirah Khadijah Anuar

PAUH PUTRA, 20 November – Slot ‘Let’s Hit The Ground’ yang dikendalikan dalam Seminar Awani Rangers Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) berjaya memberikan pendedahan dan pengalaman baharu buat para pelajar program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu yang berlangsung di Dewan Kecemerlangan UniMAP.

Menerusi slot tersebut yang dikendalikan oleh dua ikon berita Astro Awani, Ashwad Ismail dan Hilal Azmi, para pelajar diberikan tugasan untuk menyediakan laporan berita berdurasi satu minit berdasarkan pemerhatian yang dibuat di sekitar kawasan seminar seterusnya memuatnaik laporan tersebut di akaun instagram masing-masing.

Antara kreativiti tugasan yang berjaya dihasilkan oleh pelajar ialah perkembangan pembinaan Dewan Utama dan Bangunan Canselori UniMAP, liputan Pesta Tanglung UniMAP, liputan Kejohanan Olahraga Tertutup UniMAP serta tarikan makanan di Perlis.

Pelajar tahun 3, Zulkarnain Zainal Abidin, 22, berkata, sebagai seorang mahasiswa yang mengikuti program komunikasi media baharu, slot tersebut telah berjaya membuka minda pelajar untuk mengaplikasikan penggunaan saluran-saluran komunikasi media baharu dalam penghasilan berita.

“Secara tidak langsung, slot ini juga berjaya meningkatkan keyakinan diri kami untuk melaporkan sesuatu berita secara langsung di hadapan kamera,” ujarnya.

Rakannya, Aniss Abdul Rahim, 22, menyifatkan program tersebut berjaya membuka minda pelajar untuk mengesan nilai berita serta menterjemahkannya dalam bentuk penceritaan terutama berdasarkan apa yang berada di sekitar pelajar itu sendiri.

“Setiap yang berlaku dalam kehidupan seharian ada ceritanya yang tersendiri, justeru terpulang kepada kita untuk menghasilkan penulisan yang mampu memberikan manfaat atau ilmu baharu kepada masyarakat keseluruhannya,” ujar beliau, 

Seminar tersebut dianjurkan oleh stesyen televisyen swasta, Astro Awani dengan kerjasama Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (IKOM) UniMAP dan disertai oleh lebih 400 pelajar.

Antara lainnya, seminar tersebut merupakan sebahagian daripada kerjasama pintar industri-universiti dalam memberikan pengalaman sebenar kepada pelajar selain turut menjadi platform utama dalam menghasilkan lebih ramai ‘content provider’ di kalangan generasi muda terutamanya pelajar universiti.

Selain UniMAP, seminar tersebut juga sebelum ini telah diadakan di Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Teknologi Mara.

Dalam pada itu, Ashwad yang juga Editor Breaking News berkata, menerusi seminar tersebut, beliau dan Hilal akan sentiasa melihat kepada beberapa aspek dan kualiti yang ada di kalangan pelajar universiti antaranya keupayaan untuk melibatkan diri dalam setiap aktiviti yang dikendalikan.

Selain itu, ujar beliau, program yang dikendalikan secara interaktif itu ia juga bertujuan untuk memecahkan tembok ketakutan atau rasa malu dan gentar untuk beraksi di hadapan kamera.

“Bagi kami, setiap karya yang dihasilkan tidak akan dinilai sebagai salah sebaliknya, pelajar akan diberikan komen yang positif bagi menyuntik semangat mereka untuk terus berkarya. Adalah menjadi harapan kami agar mahasiswa iKOM dapat terus mendalami dunia kewartawanan dan tidak takut untuk berhadapan dengan masyarakat.,” jelasnya.