SIRaj V Medan Percambahan Ilmu – Raja Muda Perlis

MAKASSAR, Indonesia 10 November - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya Seminar Institusi Raja Kelima (SIRaj V) 2017 yang julung kali diadakan di luar Malaysia ini menjadi medan percambahan ilmu serta perkongsian budaya antara Malaysia dan Indonesia.

Titah baginda, adalah diharapkan melalui seminar ini dapat merumuskan resolusi yang baik untuk faedah bersama dan memanfaatkan kedua-dua negara.

"Penganjuran seminar ini juga boleh mengukuhkan lagi peranan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universitas Islam Negeri (UIN) Alauddin Makassar sebagai pusat percambahan minda, tapak perkembangan ilmu, seterusnya menyemarakkan kepelbagaian budaya," titah baginda.

Baginda juga berkenan mencemar duli merasmikan SIRaj V anjuran UniMAP melalui Institut Kajian Institusi Raja, Kepimpinan dan Komuniti (IKRK) dengan kerjasama UIN Alauddin Makassar di Rumah Jabatan Walikota Makassar.

Seminar yang berlangsung selama dua hari mulai 1o November itu juga diadakan bersempena ulang tahun Makassar Ke-410 tahun ini yang turut mendapat kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) Berhad, Yayasan UniMAP, UniMAP Holdings dan Proven Group of Companies.

Yang turut hadir Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, Pengarah IKRK, Prof Datuk Dr. Ramlah Adam dan Rektor UIN Alauddin Makasaar, Prof Dr. Musafir Pabbari.

Baginda dalam titahnya turut menekankan, pada asasnya, Malaysia dan Indonesia berkongsi ciri dan nilai yang sama iaitu alam Melayu dan secara dasarnya semuanya adalah serumpun.

Bagaimanapun, titah baginda, penaklukan dan pengaruh luar secara tidak langsung mengikiskan nilai dan identiti yang akhirnya menjarakkan lagi hubungan sehingga mewujudkan wilayah-wilayah yang pelbagai dengan identiti dan jati diri yang berbeza.

"Inilah sebenarnya 'kunci' yang perlu kita jadikan cerminan agar persaudaraan terus menerus menyatu, ibarat 'kiambang kembali bertaut'," titah baginda.

Baginda bertitah, penyatuan ini hakikatnya adalah penting bagi kedua-dua negara, demi memastikan kelangsungan hayat survival tamadun bangsa agar terus gah merentas sempadan dunia.