Kerjasama Projek Tahun Akhir Pelajar UniMAP Dengan Kerajaan Negeri Perlis

Arau, 9 November – Sebagai satu inisiatif menjayakan program Strategi Lautan Biru Kebangsaan  (NBOS), empat projek tahun akhir pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) akan dijadikan projek perintis bagi membangunkan aplikasi teknologi maklumat untuk kerajaan negeri Perlis.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, projek usahasama yang membabitkan pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Komputer dan Perhubungan bakal memberikan manfaat yang cukup besar untuk kedua-dua pihak tanpa melibatkan kos.

“Ia juga adalah sebahagian daripada inisiatif UniMAP untuk mengetengahkan projek dan penyelidikan inovasi berkonsepkan translasi terus kepada kerajaan dan komuniti sebagaimana yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Pusat Inovasi Nilai (VIC) yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Antara lainnya, Perdana Menteri berkata penubuhan VIC ini perlu diwujudkan di semua agensi kerajaan agar proses penjanaan inovasi dalam pentadbiran kerajaan akan berlaku dengan lebih meluas dan pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Usahasama Projek Tahun Akhir antara UniMAP dan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK)  Negeri Perlis yang diwakili oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, En Ahmad bin Zakaria, di Kampus UniMAP Pauh Putra di sini hari ini.

Turut hadir, Dekan PPK Komputer dan Perhubungan, Prof. Madya Dr. Azremi Abdullah Al-Hadi dan penyelia-penyelia projek pelajar tahun akhir, iaitu En. Suhizaz Sudin, Dr Salina Asi dan Cik Hasneeza Liza Zakaria.

Menurut Dr. Zul Azhar, di peringkat UniMAP juga, pelaksanaan projek tahun akhir ini  mampu menjadi penggerak kepada usaha mencipta ekosistem inovasi selaras dengan Revolusi Industri 4.0 sekaligus melonjakkan bidang keusahawanan.

“Secara tidak langsung, usaha ini juga diharap dapat mendedahkan pelajar kepada projek sebenar di industri dan pada masa sama melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan untuk mengetengahkan inovasi dan kreativiti mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Azremi berkata, susulan dari perbincangan awal antara UniMAP dan SUK negeri Perlis empat tajuk telah dipilih untuk menjayakan program yang akan berlangsung dalam tempoh sembilan bulan itu antaranya “Design and Development of Enterprise Web Portal for Perlis Sport Council” oleh  Zarith Izzaty Za’aba.

Jelasnya, tiga lagi projek yang terpilih ialah “Design and Development of Facilities Management System for Perlis Sport Council” oleh Wan Nur Fara Elyana Ashikin Wan Adnan; “Design and Development of Facilities Booking System” oleh Zainal Safwan Zainal Abidin, dan “Design and development of Asset Tracking System for Information Technology Management Division of Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis” oleh Mas Idayu Zolkefli.