Dua Produk Inovasi UniMAP Raih Anugerah Platinum Di Poland

Poland, 12 Oktober – Dua penyelidik Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTechTemp files)  Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya memperolehi Anugerah Platinum iaitu anugerah tertinggi di International Warsaw Invention Show (IWIS 2017) yang diadakan di Universiti Teknologi Warsaw Poland.

Pada pertandingan yang belangsung mulai 9 Oktober itu, UniMAP turut mencipta kejayaan membanggakan apabila salah satu produk inovasi terbabit turut menerima pengiktirafan “The Best Foreign Invention IWIS 2017”.

Pengurus CEGeoGTech UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd. Mustafa Al-Bakri Abdullah berkata, produk “Geopolymer Concrete for Underwater Concreting” yang diketuai oleh beliau sendiri dengan kerjasama penyelidik dari University of Plymouth United Kingdom berjaya menerima pengiktirafan produk antarabangsa terbaik selain turut menerima anugerah platinum.

Dalam pada itu, ujar beliau, produk inovasi hasil penyelidikan Dr. Mohd Arif Anuar Mohd Salleh iaitu “A Robust Green Nano Geopolymer Ceramic Reinforced Lead Free Solder for High Strength Electric/Electronic Interconnect Applications” menerima anugerah platinum selain turut menerima Anugerah Khas daripada National Institute for Research and Development in Environmental Protevtion Romania.

Dr. Mohd. Mustafa berkata, projek inovasi tersebut  merupakan output geran penyelidikan yang diterimanya melalui Kesatuan Eropah yang mana pasukan penyelidikan cuba menghasilkan bahan konkrit yang boleh diaplikasi didalam air tanpa memerlukan peralatan khas.

“Hasil kajian yang telah berjalan selama hampir dua tahun ini berjaya melepasi fasa pertama sasaran  awal penyelidikan iaitu penggunaan bahan konkrit tanpa simen. Produk ini masih dalam proses ujian berterusan dan penambahbaikan.

“Kejayaan ini secara tidak langsung membuktikan pentingnya jaringan kerjasama antara universiti tempatan dan antarabangsa dan pada masa sama ia berjaya meningkatkan keterlihatan dan reputasi UniMAP di persada antarabangsa,” ujar beliau ketika dihubungi hari ini.

IWIS 2017 merupakan pameran dan pertandingan anjuran tahunan  Association of Polish Inventors and Rationalizers (SPWIR) dengan kerjasama Kementerian Sains dan Pengajian Tinggi dan Pedidikan Tinggi Poland serta Inventors’ Associations (IFIA).

Selain Malaysia dan tuan rumah Poland, pertandingan penciptaan yang berprestij ini juga dihadiri oleh peserta dari Republik Czech, Bahrain, Maldova, Romania, Kanada, Iran, Taiwan, Thailand, China, Korea, Bulgaria, Bosnia, Croatia, Arab Saudi, Morocco dan sebagainya. Ia turut disertai oleh wakil kedutaan Malaysia di Poland, Norafizawati Sheik Ahmad Soekarno.

Dalam pada itu, Dr. Mohd. Mustafa berkata, selain menyertai pameran IWIS 2017, beliau turut mengambil peluang untuk membina jaringan baru CEGeoGTech yang boleh dimanfaat oleh penyelidik-penyelidik CEGeoGTech yang lain.

Ujar beliau, sehingga kini, pihak CEGeoGTech telah berjaya menghantar lebih daripada tujuh orang penyelidik untuk mengikuti program mobiliti bagi tujuan penyelidikan di beberapa universiti  di United Kingdom dan Greece bagi tempoh dua hingga enam bulan semenjak tahun 2016.

“Terkini, pihak CEGeoGTech telah berjaya memperolehi geran mobiliti dengan negara Romania dan Bulgaria untuk tempoh empat tahun dengan nilai geran sekitar RM50,000 setahun. Selain itu, CEGeoGTech juga menerima beberapa orang pelajar mobiliti daripada luar bagi tujuan penyelidikan antaranya daripada Romania, Arab Saudi, United Kingdom dan Algeria.

Selain program mobility, jelasnya, CEGeoGTech dengan kerjasama Lodz University of Technology Poland, turut bersetuju untuk menganjurkan persidangan antarabangsa bersama yang dijangka didakan pada Oktober 2018 dalam bidang bahan hijau termaju.