14 Mahasiswa UniMAP Timba Ilmu Di ASP 2017

PAUH PUTRA, 18 September– Peluang untuk menyertai Asia Summer Program (ASP) memberikan pengalaman yang amat berharga buat 14 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) yang berkampung selama tiga minggu di Guangdong University Of Foreign Studies, Guangzhou, China baru-baru ini.

Sepanjang program tersebut, peserta berpeluang menjalani pengalaman persekitaran antarabangsa yang membolehkan mereka mempelajari secara langsung kepelbagaian budaya di Asia.

Bagi Ellina Yasmin Yusri, pelajar tahun tiga Kejuruteraan Fotonik, berkata, sepanjang mengikuti program tersebut, beliau dapat memahami dan mengenali dengan lebih dalam mengenai budaya negara-negara Asia melalui pelajar-pelajar negara lain.

“Peluang menyertai ASP 2017 dimanfaatkan sebaiknya oleh saya dan rakan-rakan kerana dapat merentasi dan memahami budaya rakan-rakan dari negara yang berbeza.

“Bagi saya program ini telah memberi impak positif terhadap diri saya dan berharap agar UniMAP akan terus mengambil bahagian dalam program ini di masa akan datang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu bagi Ng Wei Bin, pelajar tahun tiga Kejuruteraan Bioperubatan Elektronik melahirkan penghargaan terhadap UniMAP kerana memberikan peluang kepadanya bagi menyertai ASP 2017.

“Saya berasa bangga kerana dapat mewakili UniMAP dan negara untuk berkongsi dan menyampaikan unsur kebudayaan serta  keunikan Malaysia di peringkat antarabangsa seperti ini.

“Saya amat yakin bahawa pengalaman dan ilmu pengetahuan yang saya peroleh daripada program ini terutama daripada tenaga pengajar yang berbeza latar belakang negara telah memberi manfaat dan pengajaran yang berfaedah untuk dikongsi bersama rakan-rakan di Malaysia pula,” katanya.

ASP yang merupakan program berkonsepkan mobiliti berkredit berlangsung selama tiga minggu membabitkan pelajar –pelajar universiti merangkumi kursus-kursus yang relevan yang diajar oleh tenaga pengajar terkemuka dari setiap universiti.

Untuk rekod, ASP menjadi ahli gabungan Asian University Presidents Forum (AUPF) pada tahun 2013, apabila AUPF tahunan ke- 12 telah diadakan di UniMAP.

Perwakilan dari 68 institusi di 17 buah negara, dan secara umumnya dipersetujui bahawa pemimpin pendidikan tinggi di Asia harus berusaha untuk mempromosikan program yang bertujuan untuk membangunkan kompetensi berbilang bahasa, meningkatkan pemahaman kepelbagaian budaya, dan memupuk kebolehan kreatif.