MAPUM Santuni Asnaf Bersama Tuanku Canselor UniMAP

Kangar , 3 Ogos – Seramai 30 ahli mesyuarat Majlis Perumahan Universiti-universiti Awam (MAPUM) kali ke-68 yang diadakan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) berpeluang menimba pengalaman berbeza mendekati golongan asnaf bersama Tuanku Canselor UniMAP.

Pengalaman berharga itu dilalui ketika mereka menyertai Program Kayuhan Kasih bersama Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di kampung-kampung sekitar pinggir bandar Kangar sempena mesyuarat MAPUM ke-68, di sini.

Pengetua Mahallah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Ahmad Zahirani Ahmad Azhar berkata beliau begitu teruja mengikuti program kayuhan itu di samping dapat mendekati masyarakat di kampung-kampung.

“Majoriti ahli mesyuarat MAPUM tidak pernah berpeluang atau terlibat dengan aktiviti seumpama ini sekaligus memberi pengalaman yang sangat berharga dan bermakna.

Lebih istimewa Tuanku Canselor UniMAP berkenan meluangkan masa bersama-sama kami menjejaki asnaf di kampung-kampung sekaligus kami dapat melihat kehidupan masyarakat kampung yang berbeza bangsa dan agama di negeri ini,” katanya mewakili MAPUM selepas mengikuti program kayuhan itu bermula dari Taman Merpati, Kampung Padang Behor, Kampung Tepi Sungai dan Kampung Bakong, di sini, hari ini.

Turut hadir ke program kayuhan itu ialah Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal bersama pengurusan tertinggi UniMAP, Ketua-ketua Jabatan Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta kakitangan kolej-kolej kediaman UniMAP.

Mesyuarat MAPUM yang berlangsung mulai semalam dipengerusikan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Ismail Ali.

Penganjuran mesyuarat MAPUM ke-68 ini adalah kali ketiga oleh UniMAP disertai 20 UA seluruh negara dengan objektif bagi berkongsi pendapat serta pandangan penambaikan pengurusan kolej kediaman UA selain sebagai medan pembangunan dasar-dasar pengurusan dan penginapan di kolej kediaman untuk panduan semua UA.