Pertandingan Robotik Pupuk Minat Murid Terhadap Stem

Kangar , 5 Ogos – Sebanyak 28 pasukan dari 18 buah sekolah rendah dan menengah sekitar Perlis menyertai Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) 2017 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files), di sini hari ini.

Pertandingan anjuran bersama Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Mekatronik UniMAP,  Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, dan Sasbadi Holdings Berhad itu mempertandingkan dua kategori utama iaitu kategori Regular (Pro & Rookie) serta kategori terbuka bertemakan Sustainabots.

Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan, JPN Perlis Azran Mohamad @ Ahmad berkata penganjuran NRC adalah bagi mempupuk minat murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta mengasah kemahiran mereka.

“Ketika ini Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) diberi fokus di sekolah-sekolah bagi mengasah kemahiran mereka menyelesaikan masalah secara kreatif dan inovatif justeru NRC diwujudkan sejak 2005 untuk merealisasikannya.

“NRC bermula pada peringkat daerah, negeri, kebangsaan seterusnya bagui yang berjaya di peringkat kebangsaan bakal mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa iaitu World Robot Olympiad (WRO) di Costa Rica Amerika Tengah November tahun ini ,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Penutup NRC 2017, di Dewan Ilmu UniMAP mewakili Pengarah JPN Perlis.

Turut hadir Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal, Dekan PPK Mekatronik Prof Madya Dr Abu Hassan Abdullah, dan Pengurus Program & Majlis Sasbadi Holdings Berhad Noor Faiz Zulkiflee.

Sementara itu, Zul Azhar berkata penganjuran program ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial universiti (USR) memandangkan kreativiti dan inovasi tidak boleh diajar sebaliknya boleh diterapkan secara tidak langsung melalui aktiviti-aktiviti secara berpusat.

“Secara tidak langsung program ini membantu menggerakkan penyelidik-penyelidik muda terutamanya diperingkat sekolah untuk mendapat pendedahan yang lebih meluas sama ada di dalam dan luar negara.

Sehubungan itu adalah diharapkan banyak ruang diberikan kepada UniMAP khususnya PPK Mekatronik yang aktif menganjurkan pertandingan robotik untuk sama-sama menghulurkan sumbangan ke arah mencapai objektif NRC sepertimana hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” kata beliau.

Dalam pertandingan berkenaan, Sekolah Kebangsaan (SK) Institut Pendidikan Guru Malaysia menjadi johan bagi kategori Regular Sekolah Rendah (Rookie), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lailatul Shahreen bagi kategori sama peringkat menengah rendah manakala SMK Syed Alwi bagi menengah atas.

Selain itu, turut mencipta kejayaan di tempat pertama kategori Pro ialah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK(C)) Hwa Aik bagi sekolah rendah, SMK Arau pula mendominasi menengah rendah dan atas.

Bagi kategori terbuka Sustainabots pula SMK Lailatul Shahreen menjuarai menengah rendah dan SMK Putra (menengah atas) serta SK Seri Perlis menjadi johan kategori NRC Football.