UniMAP Kekal Kuasa Olahraga SUKUM

Tanjung Malim, 30 Julai -  Pasukan olahraga Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) memulakan aksi cemerlang pada Kejohanan Sukan Kakitangan Universiti-universiti Malaysia (SUKUM) Ke-42 apabila muncul juara keseluruhan acara olahraga melalui pungutan 15 pingat emas daripada 44 pingat emas yang dipertandingkan.

Kejayaan tersebut membolehkan UniMAP mengekalkan kuasa olahraga universiti-universiti Malaysia apabila mengekalkan kejuaraan untuk kali ke-10 berturut-turut semenjak tahun 2008.

Ketua Kontinjen UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan berkata,  kejayaan pasukan olahraga UniMAP diharap mampu mencetuskan semangat untuk pasukan-pasukan lain meneruskan aksi gemilang dalam acara permainan yang sebahagian besarnya akan bermula esok.

“Alhamdulillah, pasukan olahraga UniMAP masih meneruskan pencapaian cemerlang tahun ini dan saya berharap pencapaian ini akan menjadi titik permulaan untuk atlit UniMAP meneruskan pencapaian cemerlang ini.

“Dengan sistem pungutan pingat secara terbuka yang dilaksanakan oleh tuan rumah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun ini, UniMAP optimis dalam mencapai misi juara keseluruhan SUKUM untuk kali ke-10 tahun ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pasukan olahraga UniMAP turut meraih enam pingat perak dan empat pingat gangsa mengenepikan saingan pencabar terdekat Universiti Sains Malaysia (USM) di tempat kedua dengan tujuh pingat emas, lapan pingat perak dan enam pingat gangsa.

Universiti Malaya (UM) pula menduduki tempat ketiga dengan lima pingat emas, empat pingat perak dan tiga pingat gangsa.

Mohd. Fo’ad berkata, seperti diramalkan, UniMAP menggungguli acara 100 dan 200 meter apabila meraih empat pingat emas bagi kategori lelaki dan wanita senior menerusi atlitnya Mohd. Helmi Awang dan Nurhaslinda Md. Hussin selain turut meraih emas bagi acara 100 meter wanita veteran menerusi Dr. Shuhaida Yahud.

Mohd. Helmi ujar beliau turut membantu pasukan kuartet 4x100 meter dan 4x400 meter lelaki senior menyumbangkan dua lagi pingat emas buat kontinjen UniMAP yang turut dibarisi tiga bekas atlit elit negara, Mohd. Robani Hassan, Muhammad Idris Zakaria dan Mohamad Baihaqi Razlan.

“Turut menyumbang pingat emas buat kontinjen UniMAP ialah kuartet 4x100 meter wanita senior, atlit 800 dan 1,500 meter wanita senior, 400 meter lelaki dan wanita senior, lontar peluru lelaki senior, lempar cakera lelaki senior dan lompat jauh lelaki senior,” katanya.

Kejohanan SUKUM Kali Ke-42 disertai oleh lebih 2,500 peserta dari 20 Universiti Awam (UA) seluruh negara serta kontinjen dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).