UniMAP Terima Lantikan LPU Yang Baharu

Kuala Lumpur, 24 Julai – Ahli Lembaga Pengarah MIMOS Semiconductor (M) Sdn. Bhd., Dato’ Dr. Mohd. Sofi Osman dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah (LPU) Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) bagi tempoh tiga tahun berkuatkuasa pada 1 Julai 2017 hingga 30 Jun 2020.

Lantikan dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu adalah bagi menggantikan Dato’ Prof. Emeritus Ir. Dr. Zainai Bin Mohamed yang memegang jawatan tersebut mulai 1 Julai 2012 – 30 Jun 2017.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, warga UniMAP keseluruhannya mengalu-alukan pelantikan tersebut memandangkan Dato’ Dr. Mohd Sofi Osman bukanlah satu nama asing bagi UniMAP.

“Beliau merupakan Ahli LPU Universiti dan saya percaya, beliau akan terus bersama-sama pentadbiran Universiti dalam memacu kegemilangan UniMAP kearah antara 500 universiti terbaik di dunia,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Tugas Pengerusi LPU Di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, malam tadi.

Turut hadir, mantan LPU UniMAP, Dato’ Prof. Emeritus Ir. Dr. Zainai Mohamed; ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti; dan pengurusan tertinggi universiti.

Tambah Dato’ Zul Azhar lagi, beliau yakin dengan barisan LPU yang baharu ini, UniMAP akan terus mencatatkan pelbagai kejayaan membanggakan di masa akan datang. Semoga UniMAP juga mampu menjadi universiti terbaik tanpa mengenepikan nilai intergriti.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk bekerja bersama-sama Pengerusi dan Ahli-Ahli LPU yang lama dan baharu demi kegemilangan UniMAP.