UniMAP Raih Emas Acara Tenpin Boling Di SUKANUN

Kangar, 26 Julai – Pasukan Tenpin Boling Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) mencipta kejutan apabila meraih pingat emas bagi acara tenpin bolingberpasukan lelaki pada kejohanan Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) yang berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), baharu-baharu ini. 

Lebih membanggakan apabila pasukan UniMAP yang dibarisi pemain amatur itu berjaya menumpaskan nama-nama besar dalam acara tersebut apabila berjaya menewaskan Bank Simpanan Nasional (BSN) ditempat kedua selepas melakukan 9,201 jatuhan pin.

Pasukan pilihan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang turut dibarisi beberapa atlit Malaysia terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

Ketua Kontinjen yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata, kejayaan tersebut adalah sesuatu yang sangat mengujakan apabila melihat kesungguhan dan semangat berpasukan yang dipamerkan oleh para pemain UniMAP

“Ianya lebih bermakna apabila kedua-dua pemain kita iaitu Nurakmal Ramli dan Mohd Zul Fauzi Mohamed Sawal  telah menduduki tempat pertama dan kedua bagi acara all event perseorangan lelaki sekaligus menewaskan pemain Malaysia di tempat ketiga dengan perbezaan 76 jatuhan pin,” katanya ketika dihubungi.

Kejohanan SUKANUN yang dihoskan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Melaka disertai oleh lebih 2,000 atlit yang mewakili Agensi Badan Berkanun di seluruh negara.

Sebanyak 21 acara dipertandingkan pada kejohanan tersebut antaranya badminton, bola sepak, bola jaring, boling padang, catur, dart, futsal, golf dan ping pong.

Menurut Mohd. Fo’ad, UniMAP hanya menghantar kontinjen kecil ke kejohanan tersebut bagi menyertai dua acara iaitu tenpin boling dan golf.

Beliau optimis, dengan kejayaan yang diraih oleh pasukan tenpin boling UniMAP di kejohanan SUKANUN ini akan membakar semangat atlit UniMAP untuk terus melakar kejayaan cemerlang pada Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti (SUKUM) 2017 yang akan berlangsung beberapa hari lagi.

UniMAP sememangnya memberi fokus utama kepada kejohanan SUKUM 2017 yang akan berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mulai 28 Julai ini, dan atas dasar itulah, hanya dua pasukan yang dihantar mengambil bahagian pada kejohanan SUKANUN.

“Misi kami adalah untuk memburu kejuaraan kali ke-10 di kejohanan SUKUM akan datang,” ujar beliau.