Penjawat Awam Perlu Peka Dengan Pekeliling Dan Arahan JPA

PAUH PUTRA, 20 Julai – Prestasi penjawat awam sering dinilai oleh masyarakat dan di zaman moden ini, ia begitu mudah disebarkan terutamanya menerusi media sosial.

Bagi memperkukuhkan kepercayaan dan menambahbaik Perkhidmatan Awam Jabatan (JPA) telah memperkenalkan  Dasar Pemisah atau Exit Policy demi penambahbaikan perkhidmatan awam pada masa depan.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, kejayaan sesebuah organisasi dalam perkhidmatan awam adalah usaha bersama dan bergantung kepada setiap individu yang ada dalam perkhidmatan awam.

“Kita telah melihat beberapa contoh bagaimana nama perkhidmatan awam sedikit sebanyak telah tercemar akibat dari salah laku yang telah dilakukan oleh segelintir penjawat awam, walaupun mereka yang melakukannya bukan di dalam organisasi kita.

“Amalan rasuah, salah guna kuasa, cuai dan tidak beradab ketika menjalankan tugas adalah beberapa isu yang sering dan pernah dihebahkan di media massa,”katanya ketika berucap pada Taklimat Pelaksanaan Dasar Pemisah (Exit Policy) UniMAP, di  Dewan Kecemerlangan, Kampus Induk, Pauh Putra, di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Cawangan Dasar dan Perundingan Bahagian Perkhidmatan JPA, Hasmarulaini Omar dan Penolong Pengarah  Bahagian Pengurusan Psikologi JPA, Mohd Noor Ikhram Husin.

Ujar beliau lagi, penjawat awam juga, hendaklah sentiasa peka dengan segala pekeliling dan arahan yang dikeluarkan JPA.

“Pelaksanaan Dasar Pemisah ini adalah merujuk kepada pegawai yang penilaian prestasi terkini berada pada tahap kurang daripada 60 peratus walaupun prestasi tahun-tahun sebelumnya melebihi 60 peratus.

“Dasar ini akan dilaksanakan melalui penamatan perkhidmatan demi kepentingan awam di bawah peraturan 49 P.U. (A) 395/1993 dan kemudian dibersarakan. Saya yakin tiada warga UniMAP yang akan terjatuh dalam kategori ini dan mengekalkan kecemerlangan dalam setiap kerja yang dilakukan,”katanya.

Pelaksanaan Dasar Pemisah (Exit Policy) bagi pegawai yang berprestasi rendah dalam Perkhidmatan Awam dan pelaksanaan pekeliling ini telah diluluskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti Kali Ke-56 Bil.2/2017 yang lalu.

Melalui pekeliling itu, pihak kerajaan tidak teragak-agak mengambil tindakan untuk mengeluarkan pegawai berprestasi rendah daripada Perkhidmatan Awam.

“Sebagai warga UniMAP yang senantiasa berdedikasi dan komited, anda tidak perlu bimbang terhadap pelaksanaan Dasar Pemisah kerana dasar ini telah dirancang dengan teliti menerusi penilaian yang adil dan telus bagi memastikan tidak ada pegawai kerajaan yang teraniaya,”ujarnya lagi.