UniMAP Rai Kanak-kanak Kurang Bernasib Baik

Kangar, 14 Julai - Seramai 53 kanak-kanak kurang bernasib baik dari Rumah Kanak-Kanak (RKK) Arau telah diraikan dalam satu majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Institut Matematik Kejuruteraan (IMK) Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) di sini semalam.

Dekan IMK UniMAP, Dr. Muhammad Zaini Ahmad berkata program tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti universiti yang dikendalikan oleh Kelab Kebajikan IMK yang dianjurkan buat julung kalinya.

Ujar beliau, antara objektif utama penganjuran majlis yang berlangsung di RKK Arau itu ialah untuk mengeratkan silaturrahim dalam kalangan staf IMK dan juga anak-anak yang kurang bernasib baik di samping berkongsi kegembiraan menyambut Aidilfitri.

“Selain itu, program ini juga merupakan platform terbaik untuk staf menonjolkan kebolehan kerja berpasukan, kemahiran pengurusan dan keusahawanan serta kebolehan berfikir secara kreatif dan inovatif.

“Semoga jalinan kerjasama seperti ini menjadi titik permulaan kepada pelbagai lagi program kerjasama antara IMK UniMAP dan RKK,” ujarnya ketika berucap di majlis perasmian Majlis Sambutan Aidilfitri IMK UniMAP – RKK di sini.

Yang turut hadir adalah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, Mohd.Hazam Ismail; Pengetua Rumah Kanak-Kanak (RKK), Anies Suzana Azhan Ahamad.

Selain disajikan dengan pelbagai juadah hari raya, penghuni RKK juga turut  menerima sumbangan duit raya serta menjayakan pelbagai aktiviti yang dianjurkan sepanjang program berlangsung.