UniMAP Balas Jasa Tentera

Pauh Putra, 19 Jun- Mungkin ramai yang tidak sedar dalam ketenangan rakyat Malaysia tidur lena sepanjang malam, ada insan yang bersengkang mata, meninggalkan anak isteri bagi memastikan kita hidup dalam keadaan aman damai.

Sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya mengingati serta menghargai jasa angkatan tentera yang berkorban apa sahaja demi memastikan negara kekal aman dan selamat.

Atas dasar itu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), melalui Pusat Bahasa Antarabangsa (CIL) menganjurkan Kursus Bahasa Inggeris dan Pengenalan Bahasa Tagalog sebagai simbolik penghargaan atas segala jasa pasukan keselamatan Malaysia.

Pengarah CIL UniMAP, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon berkata, program tersebut yang julung kali dianjurkan membabitkan kerjasama Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4RRD).

“Sebelum ini kita tidak mempunyai saluran untuk menganjurkan program seperti ini. Dengan kelebihan yang kami ada (guru bahasa) penganjuran kursus ini saya kira merupakan satu sumbangan kecil UniMAP kepada pasukan keselamatan kita.

“Prorgam komuniti seperti ini juga merupakan hasrat Naib Canselor  yang inginkan UniMAP  memperbanyakkan  aktiviti yang dapat membantu masyarakat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ujar beliau lagi, selian dari mengajar bahasa Inggeris dan Tagalog kepada anggota tentera, tenaga pengajar juga dapat mempelajari sesuatu dari pengalaman yang dikongsi anggota keselamatan itu.

“Ini merupakan salah satu program pembelajaran dua hala dimana kedua-dua pihak boleh berkongsi ilmu-ilmu baharu yang saya percaya bukan mudah untuk orang awam mengetahuinya dari pihak tentera,” katanya lagi.

Sementara itu bagi Pegawai Gerakan Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja, Mejar Mohd Nazrin  Hamid, berkata, peluang itu merupakan satu pengalaman baharu tentera untuk belajar bersama pensyarah universiti.

“Sebelum ini kita tidak pernah terlibat dengan program atau kelas bersama orang awam kerana dalam angkatan tentera juga mempunyai Kor Pendidikan dimana tenaga pengajarnya juga dari kalangan tentera.

“Kelas ini merupakan persediaan untuk latihan bersama anggota tentera Filipina yang dijadualkan awal Oktober nanti untuk misi Eksesais Land Malphi Siri 18/2017,”katanya.

Ujar  Mohd Nazrin  lagi, latihan bersama anggota tentera dari negara luar menuntut anggota tentera kita  untuk berkomunikasi menggunakan bahasa selain dari bahasa Melayu, justeru kelas persediaan Bahasa Ingeris dan Tagalog seperti itu amat berguna kepada mereka.

 “Untuk kelas kali ini, kita menggabungkan pegawai-pegawai dari pelbagai peringkat, kerana kebanyakkan latihan  akan melibatkan tentera dari luar negara.

“Saya berharap pihak UniMAP sudi untuk mengadakan lagi kelas seperti ini, untuk memberikan suasana baharu kepada anggota-anggota belajar di luar suasana kem,”katanya lagi.

Kelas yang berlangsung selama lima hari itu disertai seramai 50 anggota 4RRD bermula 13 sehingga 17 Jun lalu di UniMAP Kampus Pauh Putra.  Kelas tersebut dikendalikan oleh lima staf CIL termasuk seorang staf antarabangsa dari Filipina.

Sesi pembelajaran akan memberi tumpuan kepada kemahiran pertuturan, pendengaran dan kerja berkumpulan, supaya dapat membantu pegawai tentera melaksanakan misi tersebut dengan lebih efisyen dan efektif.