UniMAP Sasar 4 Emas Di MASUM 2017

PAUH PUTRA, 3 Julai – Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) mensasarkan empat pingat emas pada Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2017 yang akan berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 7 hingga 22 Julai nanti.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, kontinjen UniMAP menghantar 10 penyertaan bagi acara Olahraga, Tenpin Boling, Sepak Takraw, Tenis, Ragbi 15 sebelah, Bola Tampar, Taekwondo, Karate Do, Bola Keranjang  dan Bola Baling .

“Tahun lalu, kita gagal memenangi sebarang pingat emas dan hanya berpuas hati dengan enam perak dan lima gangsa bagi acara woodball dan karate-do. Dengan persiapan rapi yang dibuat pada tahun ini, kita harapkan acara-acara yang kita sasarkan mampu menyumbang emas untuk kontinjen UniMAP.

“Antara acara yang kita sasarkan emas adalah tenis, olahraga, taekwando, dan bola keranjang, saya berharap dengan adanya sasaran ini, para atlet akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan,” katanya ketika berucap pada majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UniMAP di Bilik Seminar PFI 2, Kampus UniMAP, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP  Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan dan Pengarah Pusat Sukan UniMAP,  Suhizaz Sudin.

Beliau berharap agar para atlet menunjukkan prestasi yang terbaik dan menjadikan MASUM 2017 sebagai platform dalam melahirkan atlet-atlet UniMAP yang berpotensi untuk ditonjolkan ke peringkat antarabangsa.

“Inilah semangat yang perlu dipupuk, iaitu bukan sekadar bertanding atas prestasi selaku wakil universiti semata-mata, tetapi paling penting bersaing bagi melayakkan diri dalam pasukan kebangsaan dan akan membawa cabaran lebih besar di peringkat serantau dan antarabangsa seperti Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik,” katanya lagi.