UniMAP Tingkatkan Kesedaran Staf Tentang Keselamatan Sepanjang Aidilfitri

Pauh Putra, 21 Jun - Dalam kemeriahan untuk menyambut Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, faktor keselamatan perlulah dititikberatkan termasuklah dalam aspek pemanduan dan keselamatan rumah ketika di musim perayaan.

Dalam usaha menasihati warganya yang bakal pulang berhari raya, Jabatan Keselamatan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontijen Perlis, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri Perlis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perlis menganjurkan Kempen Selamat : Harta Benda Selamat, Selamat Tiba Ke Destinasi.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Ir. Dr. Rezuwan Kamarudin berkata, kempen itu mempunyai dua objektif utama iaitu untuk memberi kesedaran dan panduan mengenai keselamatan harta benda baik di rumah mahupun di pejabat serta  keselamatan di jalanraya.

“Kempen ini dilihat perlu diadakan diperingkat UniMAP kerana  kapasiti kepadatan warganya sudah mencecah seramai 15,000 orang dengan jumlah 13,000 pelajar dan 2000 staf.

“Dan daripada jumlah itu, sebanyak 2,300 kenderaan yang berdaftar dengan UniMAP  dan kita menjangkakan sebanyak 40 peratus staf akan memandu meninggalkan pejabat serta kediaman pada musim perayaan ini,” katanya ketika berucap merasmikan kempen itu di Pintu Gerbang Utama, Kampus UniMAP, di sini baru-baru ini.

Turut Hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya. Dr. Mohd Foad Sakdan, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM Kontinjen Perlis, Supritendan V.Raja A/L Vadivellu, Pengarah JKJR Negeri Perlis, Kalai Kumar A/L Periyasamy  dan Pengarah Jabatan Keselamatan UniMAP Datuk  Zull Aznam Haron.

Ujar beliau lagi, dalam suasana  musim perayaan dan cuti yang panjang, amatlah wajar pihak UniMAP mengadakan kempen secara bersama dengan PDRM, JPJ dan JKJR yang lebih arif dalam bidang masing-masing untuk disampaikan kepada seluruh warganya.

“Kami berharap agar kerjasama seperti ini dapat diteruskan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan bukan saja warga UniMAP, malah masyarakat Perlis keseluruhannya,”katanya.

Pada kempen itu, semua staf dan pelajar UniMAP diberikan risalah mengenai aspek keselamatan serta makanan ringan untuk dibekalkan sepanjang perjalanan ke kampung nanti.