IPT Perlis Bergabung Laksanakan NBOS

Arau, 21 Jun – Bagi menyahut seruan kerajaan yang menekankan konsep berimpak tinggi dengan pelaksanaan cepat pada kos yang rendah, Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) bersama lima institusi pendidikan tinggi (IPT) Perlis telah mengambil inisiatif dengan bergabung menganjurkan Majlis Ihtifal Ihya’ Ramadan yang diadakan malam tadi.

Menurut Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, ini merupakan julung kali enam IPT di Perlis bergabung bagi melaksanakan majlis tersebut.

”Idea penggabungan enam IPT di majlis ini merupakan cetusan idea Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

”InsyaAllah kita akan bekerjasama sekali lagi untuk program sambutan Aidilfitri, serta program-program lain, khususnya yang berorientasikan akademik dan penyelidikan,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan bagi mewakili kesemua IPT lain di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di sini.

Enam IPT yang terlibat adalah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Perlis, Kolej Matrikulasi Perlis,  Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) dan UniMAP sendiri.

Dato’ Dr. Zul Azhar juga menyambut baik kerjasama sebegini yang dilihat membina dan mengeratkan ukhuwah sesama warga IPT dan membuka peluang untuk kerjasama lain pada masa akan datang.

“Penggabungan ini menepati hasrat NBOS, iaitu Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang digalakkan Kerajaan seiring dengan konsep kesepunyaan dan keserakanan (atau commonalities and collegiality) yang disarankan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Malah konsep ini merupakan kaedah yang kreatif dalam mewujudkan nilai tinggi dengan kos yang munasabah,” katanya.

Seiring itu, turut dilancarkan pada majlis tersebut adalah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan penglibatan enam IPT tersebut.

“Sebagai contoh, kerjasama antara UniMAP dengan PTSS dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, projek tahun akhir, serta lawatan kemudahan makmal dan fasiliti sudahpun dirangka dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.

Tambahnya lagi, UniMAP juga turut bekerjasama dengan sekolah-sekolah melalui sumbangan kepakaran dalam membudayakan minat pelajar sekolah dalam bidang Sains, Teknologi dan Matematik dengan menganjurkan bengkel robotik, bengkel robotik lego, klinik go-kart, pertandingan inovasi dan penyelidikan, dan banyak lagi.

“Komitmen dan kerjasama sebegini akan terus diperluaskan di masa akan datang, Insya Allah,” katanya.

Pada majlis itu juga turut diraikan 30 pelajar asnaf fakir dan asnaf yatim dari enam IPT tersebut.

Selain jamuan mereka juga turut menerima sumbangan berupa duit raya yang disampaikan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah binti Tengku Rashid.

Tidak ketinggalan majlis juga diserikan dengan berangkat DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Turut berangkat pada majlis itu adalah DYTM Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Majlis juga diserikan dengan kehadiran seramai 700 tetamu termasuklah keutamaan negeri, ketua jabatan persekutuan dan negeri, serta wakil warga kerja dan mahasiswa IPT.  

<"images/news/UniMAP_NBOS03.jpg" alt="" />