Program Latihan Kemahiran Industri ECRL Negaraku

Kangar, 15 Jun – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bersama 13 lagi institusi pendidikan tinggi (IPT) telah menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama Malaysia Rail Link (MRL) dan China Communications Construction Company (CCCC) di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya semalam.

UniMAP diwakili oleh Naib Canselornya, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dan MoU ini ditandatangani bagi pelaksanaan Program latihan Kemahiran Industri ECRL Negaraku.

Menurut Dr. Zul Azhar, UniMAP akan menyediakan keperluan dari segi pelajar yang menyertai Latihan Industri, tenaga pengajar dan juga jumlah penyelidik dalam bidang berkaitan.

UniMAP menyokong penuh pelaksanaan program ini dan sebagai tanda sokongan kita akan menghantar pelajar mengikut permintaan daripada syarikat yang terlibat.

“Sebanyak 3,600 pelajar diperlukan untuk keseluruhan program merangkumi pelajar bagi latihan industri, pelajar bakal bergraduat dan juga pelajar yang masih lagi mencari pekerjaan dalam bidang kejuruteraan awam, mekanikal dan elektrikal bermula pada tahun 2018 nanti,” katanya.

Tambahnya, ketiga-tiga bidang tersebut merupakan kekuatan UniMAP, oleh itu beliau yakin pihaknya  mampu menyalurkan sumber manusia yang cukup untuk memenuhi permintaan MRL.

“Lebih bermakna kerana pelajar ini akan dilatih dan diserap oleh syarikat-syarikat kontraktor yang terlibat untuk terus berkhidmat dengan mereka walaupun selepas tamatnya projek ini yang dijangka pada tahun 2022,” katanya.

Untuk tempoh tiga hingga enam bulan, pelajar yang berkelulusan sijil, diploma dan ijazah ini akan bekerja untuk mempersiapkan projek pembinaan landasan sejauh lebih kurang 600km bermula dari Gombak, Selangor hingga ke Wakaf Bharu, Kelantan.