UniMAP Komited Cari Bakat Sukan Staf

Pauh Putra, 23 Mei – Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) sentiasa berusaha untuk memastikan kesinambungan kejayaan dalam bidang sukan sentiasa berada pada tahap yang terbaik.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata, pihak universiti akan sentiasa memberikan sokongan padu kepada Pusat Sukan dalam usaha mancari bakat-bakat baharu di kalangan staf untuk mewakili UniMAP pada kejohanan sukan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Atas usaha itu juga, Pusat Sukan UniMAP telah mengadakan satu mini kejohanan sukan di kalangan staf UniMAP yang dikenali sebagai Kejohanan Sukan Antara Staf UniMAP (SUKAS)  sebagai salah satu cara bagi mencari bakat-bakat baharu yang dapat mewakili UniMAP

“Sepanjang SUKAS ini berlangsung,  dapat kita melihat komitmen staf dan kesungguhan setiap pasukan yang bertanding telah mewujudkan  satu landskap yang berbeza dan menjadi satu fenomena sukan yang sebelum ini kita tidak nampak,”katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan SUKAS 2017, di sini, baharu-baharu ini.

Turut hadir, Pengarah Pusat Sukan UniMAP, Suhizaz Sudin. 

Pada majlis itu, Pasukan D muncul juara keseluruhan SUKAS 2017  yang berlangsung bermula Mac dan berakhir awal Mei lalu.

Kejayaan itu diperolehi apabila Pasukan D berjaya menjuarai empat dari sembilan acara yang dipertandingkan pada pertandingan iaitu sepaktakraw senior dan veteran, woodball dan badminton.

Kejayaan itu membolehkan Pasukan D membawa pulang piala pusingan dan hamper.

Sebanyak lima pasukan bertanding dalam sembilan acara yang dipertandingkan iaitu sepaktakraw senior dan veteran, bola jaring, badminton, bola tampar lelaki dan wanita, woodball, tenis dan bola sepak.