Wartawan Bernama Johan Perlawanan Boling Antara Jabatan UniMAP Dan Media Piala Naib Canselor 2017

Kangar, 15 Mei – Muhd Ekmal Hakim Abdullah dari Bernama muncul johan lelaki dengan 438 jatuhan pin bagi kategori media dalam Pertandingan Boling Antara Jabatan UniMAPTemp files dan Media Piala Naib Canselor 2017 yang diadakan di Perlis Bowl, di sini malam tadi. Manakala Nurhartini Mohd Nasir dari Harian Metro pula menjadi johan wanita dengan 295 jatuhan pin dan mereka masing-masing membawa pulang wang tunai RM 150.00 dan hamper.

Tempat kedua pula masing-masing dimenangi oleh wakil Radio Televisyen Malaysia (RTM), Muhamad Sofi Shamsudin dengan jatuhan pin 434 dan Gee Hui Lan dari Kwong Wah Yit Poh dengan 229 jatuhan pin seterusnya berjaya membawa pulang wang tunai RM 100.00 dan hamper.

Tempat ketiga kejohanan menjadi milik Ibrahim Hamzah dari RTM dengan jatuhan pin 432 sekaligus membawa pulang wang tunai RM50.00 dan hamper.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata Kejohanan Boling Piala Naib Canselor merupakan kejohanan tahunan yang dianjurkan sebelum ini, namun pada tahun ini, UniMAP membuka penyertaan bagi kategori media. Ujar beliau, ia antara lainnya bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara pengamal media di negeri Perlis dengan warga UniMAP terutama pengurusan universiti.

“Ini merupakan kali pertama pertandingan boling antara Jabatan UniMAP diadakan dengan memperkenalkan kategori media sekaligus melibatkan penyertaan agensi media Perlis yang bertujuan untuk menjalinkan hubungan antara warga UniMAP dan wakil media. “Saya mahu warga UniMAP mengenali wakil media yang banyak memberikan publisiti kepada UniMAP sejak dari awal penubuhan universiti sehinggalah sekarang ini,” katanya.

Tambahnya, keakraban UniMAP dan media harus terus berkekalan agar perkongsian maklumat yang disalurkan oleh UniMAP melalui media akan dapat diterima dan memberi manfaat kepada masyarakat keseluruhannya. “Alhamdulillah penyertaan kali pertama media ini berjaya disertai oleh 20 orang pengamal media dan kami yakin jumlah penyertaan media akan meningkat apabila aktiviti seumpama ini diadakan lagi pada masa hadapan,” katanya. Kejohanan tersebut turut mendapat penajaan dari Syarikat Minda Teguh Trading, UniMAP Holding dan Zeel Production.