UniMAP Perkukuh Hubungan Dengan Universiti Eropah

Pauh Putra, 3 Mei – Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) sentiasa menerokai peluang baharu untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembelajaran dengan pelbagai institusi akademik di peringkat  antarabangsa.

Terbaharu, satu memorandum persefahaman (MoU) telah dijalankan antara University of Chemical Technology and Metallurgy (UCTM), Bulgaria bersama Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) UniMAP bagi meneroka kerjasama dengan negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

Pengurus CEGeoGTech UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd. Mustafa Al-Bakri Abdullah berkata, CEGeoGTech dan UCTM sebelum ini telah mempunyai hubungan dua hala yang memberi fokus kepada pengajuran seminar dan penerbitan secara bersama bagi meningkatkan sitasi kedua-dua universiti.

“Selain daripada itu, kita juga pernah menerima dua pelajar pra siswazah yang datang ke UniMAP untuk membuat latihan industri dalam bidang geopolimer.

“Saya yakin, dengan kerjasama yang baharu dijalinkan ini akan membuka lebih banyak  peluang penyelidikan serta kolaborasi antara kedua-dua institusi  di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Menandatangani MoU antara UniMAP dan UCTM serta Surat Hasrat (LOI) bersama  Universitas Negeri Makassar (UNM).

PAda majlis tersebut, UniMAP diwakili oleh Naib Canselornya, Dato’ Prof. Dr Zul Azhar Zahid Jamal,  dan UCTM diwakili Dekan Fakulti Teknologi Kimia, Prof. Madya Dr Andriana Surlev manakala UNM diwakili Dekan Fakulti Matematik dan Sains Alam, Drs. Subaer M. Phill. Turut hadir Pengarah Pusat Hal Ehwal Antarabangsa UniMAP, Dr. Noorhafiza Muhammad.

Ujar Dr. Mohd. Mustafa lagi, CEGeoGTech juga  telah  merancang dalam mendapatkan geran  mobiliti daripada  EU dan antarbangsa yang lain bagi menyerlahkan lagi keterlihatan UniMAP di persada antarabangsa terutama dalam bidang penerbitan jurnal, penyelidikan dan program sangkutan pelajar atau staf.

“Terdapat banyak ruang dan peluang yang ditawarkan oleh institusi akademik di Eropah dalam aspek geran mobiliti ini dan CEGeoGTech akan mengambil langkap proaktif untuk mengenalpasti rakan strategik yang boleh membantu memacu kegemilangan kami.

“Buat masa ini, CEGeoGTech mendahului penerbitan scopus bagi bidang Geopolimer, dan saya percaya status ini akan memudahkan kami meneroka peluang kolaborasi dengan institusi pendidikan lainnya di Eropah,” ujar beliau lagi.