SUTRAMAYA UniMAP RAIH TEMPAT KETIGA DI FESTIVAL TARI 1MALAYSIA MAKUM 2017

Sintok, 22 April  – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya meraih tempat ketiga di Festival Tari 1Malaysia anjuran Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM) 2017 yang diadakan di Dataran Budaya Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini.

UniMAP  yang diwakili kumpulan tarian Sutramaya terdiri daripada pelajar berbangsa Siam, Iban, orang Asli, Cina, India dan Melayu itu berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM600 selain turut meraih anugerah Busana Terbaik.

Pengarah Unit Kebudayaan dan Rekreasi UniMAP, Mohd Izwan Izhar Haris berkata kumpulan Sutramaya menjalani latihan selama tiga minggu sebelum menyertai festival berkenaan memandangkan ahli kumpulan itu terdiri daripada pelajar pelbagai kursus pengajian,

Katanya, Sutramaya turut mendapat bimbingan dan latihan dari semua staf UKR sendiri termasuk Terry Junas sebagai Kareografer dan Libren Francis sebagai pegawai pengiring mereka.

“Ini adalah kejayaan pertama UniMAP di peringkat MAKUM walaupun sekadar meraih tempat ketiga tetapi ia memberi pengalaman yang tidak ternilai kepada semua ahli kumpulan bagi menghadapi pertandingan lain di masa akan datang,” katanya ketika dihubungi.

Festival Tari 1 Malaysia yang berlangsung mulai 20 hingga 22 April itu turut menyaksikan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meraih tempat pertama termasuk memperolehi Koreografi Terbaik serta Persembahan Terbaik diikuti UUM di tempat kedua manakala Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menarik perhatian juri dengan meraih Anugerah Khas Juri.