Perodua Akan Keluar Model Baharu

Padang Besar, 17 April - Perusahan Automobil Kedua (Perodua) merancang mengeluarkan beberapa model baharu kenderaan jimat minyak (EEV) untuk terus kekal bersaing dalam segmen kereta kompak menerusi  rancangan lima tahun 2017-2021.

Pemangku Pengurus Besar Kanan Perodua Manufacturing Sdn Bhd, Mohd Saifuzzaman Mohammad berkata perancangan juga bagi memenuhi permintaan ke atas kereta kompak jimat minyak dalam tempoh tersebut.

"Saya tidak boleh bagi tahu (model yang akan dikeluarkan) sekarang kerana ini strategi perniagaan, namun model-model baharu ini akan lebih berkualiti,  murah, lancar dan jimat minyak," katanya.

Beliau ditemui selepas membuat penyerahan rasmi lima unit mesin perkomputeran (CNC) terpakai pembuatan enjin kereta kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files), yang diterima oleh Naib Canselornya, Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal di Kampus Uniciti, Sungai Chuchuh di sini, hari ini.

Mohd Saifuzzaman berkata pemilihan model Bezza yang menerima penarafan lima bintang ASEAN NCAP baru-baru ini dan model Axia yang mendapat sambutan hangat pembeli, akan dipertingkatkan.

Mengenai CNC yang disumbangkan itu, beliau berkata dalam jangka masa panjang fungsi asas mesin tersebut dalam industri automotif,  relevan untuk satu jangka masa yang agak panjang.

"Kami telah memiliki beberapa mesin baharu bagi mengeluarkan model baharu, namun mesin ini sangat berguna untuk tujuan pendidikan kerana pelajar dapat menyesuaikan diri dengan bidang yang diceburi kelak," katanya.

Menurut Mohd Saifuzzaman harga mesin baharu  antara RM 800,000 dan  RM 1.3 juta seunit bagi harga terpakai termasuk kos penghantaran, hanya RM 330,000.

Sementara itu Zul Azhar berkata hubungan strategik UniMAP-Perodua sejak lima tahun lepas telah meningkatkan nilai kebolehpasaran graduannya selain mereka dapat menjalani latihan praktikum dalam suasana sebenar industri automotif.

"Cara ini akan melahirkan graduan yang holistik, relevan dan kompeten kerana keupayaan mereka menerapkan nilai-nilai yang diperlukan oleh industri menerusi latihan amali," katanya" katanya.

Zul Azhar mencadangkan syarikat automotif menjalin kerjasama lebih erat dengan UniMAP bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan. – Bernama