PPK Mikroelektronik Rangkul Majoriti Anugerah Khas Di EREKA 2016

Kangar, 17 Mac - Pusat Pengajian Kejuteraan (PPK) Mikroelektronik merangkul majoriti anugerah khas bagi kategori Anugerah Best of the Best pada Ekspo Rekacipta dan Pameran Penyelidikan UniMAP (EREKA) 2016 di Dewan Ilmu, Kampus Induk UniMAP Pauh Putra, baharu-baharu ini.

Mereka berjaya meraih tiga kategori anugerah khas bagi tiga produk penyelidikan dari enam kategori yang dipertandingkan.

Produk pertama yang terpilih adalah STEM DSSC KIT – FROM JUICE TO POWER oleh penyelidik Ili Salwani Mohamad melalui kategori Pendidikan, Kemanusian dan Kualiti Hidup.

Manakala produk kedua pula adalah milik Dr. Sohiful Anuar Zainol Murad bagi produk DC-DC Converter Switching Regulator for Power Supply Module bagi kategori Elektrikal dan Elektronik.

Tidak ketinggalan, produk BC PILLS FOR ACUTE DIARRHEA TREATMENT oleh Siti Salwa Mat Isa bagi kategori Perubatan, Farmaseutikal dan Kesihatan.

Produk lain yang terpilih adalah dari PPK Komputer dan Perhubungan iaitu Dr. Muhammad Imran Ahmad dengan produknya iaitu FACE SKETCH RECOGNITION FOR LAW ENFORCEMENT APPLICATION dalam kategori Teknologi Maklumat dan Multimedia.

Turut dinobatkan adalah produk Microwind Turbine Energy Havester oleh Dr. Norkharziana Mohd Nayan dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Sistem Elektrik bagi kategori Pertanian, Akuakultur dan Alam Sekitar.

Produk Pulse Jet Air Dryer pula mendapat anugerah khas bagi kategori Bahan, Pembuatan; Mekanikal dan Sivil adalah hasil penyelidikan Ir. Dr. Mohamad Shaiful Ashrul Ishak dari PPK Pembuatan.

Kesemua enam produk ini terpilih sebagai produk terbaik selepas turut memenangi pingat emas dalam pameran tersebut dan layak menerima wang tunai RM250.00, sijil anugerah dan sijil penyertaan.

Pada pameran yang sama juga turut diperkenalkan satu kategori baharu iaitu Kategori Video Pendek di mana tiga produk telah dinobatkan sebagai pemenang.

Pemenang pingat emas bagi kategori ini adalah milik Prof. Dr. Uda Hashim dari Institut Kejuruteraan Nano Elektronik (INEE) bagi produk In House Fabricated Non – Invasive Glocuse Detection Kit.

Manakala penerima pingat perak adalah Maz Jamilah Masnan dari Institut Matematik Kejuruteraan (IMK) bagi produk Genius Math Begins With Damat.

Pingat gangsa pula dinobatkan kepada Ruhiyuddin Mohd Zaki dari Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoTech) melalui produknya iaitu KEZITE.

Mereka masing-masing berjaya membawa pulang RM500.00, RM400.00, RM300.00, sijil anugerah dan sijil penyertaan.

EREKA 2016 menyaksikan sebanyak 154 produk telah terpilih meraih pingat dengan komposisi 62 pingat emas, 51 perak dan 41 gangsa dari 193 produk penyelidikan yang telah mengambil bahagian.